Skip to main content

Advertisement

Badminton

Kejohanan Dunia: Semangat barisan beregu negara tetap membara -- Paulus

paulus-firman.jpg
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman, berpandangan semangat pemain negara tetap tinggi di sebalik ketiadaan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, dalam Kejohanan Dunia di Nanjing, China, minggu depan.

Sebelum ini, Chong Wei dianggap sebagai pemimpin utama dalam kem badminton negara, khususnya apabila menghadapi pertandingan utama seperti Kejohanan Dunia.

Begitupun, masalah kesihatan mengakibatkan Chong Wei terpaksa menarik diri daripada mengambil bahagian di Nanjing selain Sukan Asia Indonesia, bulan depan.

Namun, Paulus menganggap situasi itu memberikan motivasi yang lebih tinggi buat pemain, terutama dalam bahagian beregu lelaki.

"Saya harap pemain menjadikan situasi ini sebagai motivasi.

"Lebih bagus kalau semua pemain (menyerlah) dan tidak hanya bergantung kepada seorang pemain.

"Kita faham, selama ini Chong Wei sering menjadi tumpuan. Jadi, pemain perlu menjadikan ini sebagai motivasi," katanya.

Kejohanan Dunia menjadi cabaran pertama buat Paulus sejak dia dinaikkan pangkat selaku ketua jurulatih bahagian beregu lelaki negara.

Jelasnya, tidak banyak perbezaan daripada segi persiapan terhadap dua gandingan negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik, kerana sudah biasa dengan teknik latihan mereka.

"Saya fikir hampir sama. Saya pernah mengendalikan mereka tidak lama dahulu.

"Kami kini mempunyai lebih banyak peluang untuk meluangkan masa, termasuk dengan pemain pelapis.

"Kami saling membantu antara satu sama lain," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video