Pemain profesional negara, Liew Daren, mengakui tidak tertekan untuk menggalas cabaran sebagai wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki tanpa kehadiran Datuk Lee Chong Wei dalam Kejohanan Dunia di Nanjing, China, bermula Isnin ini.
Chong Wei menarik diri daripada kejohanan dari 30 Julai hingga 5 Ogos itu akibat masalah pernafasan.
Advertisement
Menurut Daren, yang juga bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dia memang terkejut dengan berita bahawa Chong Wei menghadapi masalah pernafasan dan terpaksa berehat selama sebulan.
“Saya memang terkejut apabila mengetahui Chong Wei sakit semalam sebab saya tak sangka dia ada penyakit yang serius macam ini kerana dia seorang pemain yang sangat berdisiplin dan cergas. Saya harap dia sembuh dengan cepat.
“Setakat ini, saya tiada tekanan kerana saya tidak berada di bawah BAM. Jadi, saya hanya fokus terhadap persiapan diri dan bagaimana untuk meningkatkan prestasi saya,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara Akademi Badminton AirAsia dan aplikasi Yippi, hari ini.
BAM semalam mengumumkan bahawa Chong Wei, naib juara Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali (2011, 2013 dan 2015), terpaksa menarik daripada kejohanan itu dan Sukan Asia Indonesia bulan depan kerana masalah kesihatan.
Daren, yang menghuni ranking ke-40 dunia, kini sedang bekerja keras untuk mencipta kejutan ke atas pilihan ke-15, Jonatan Christie dari Indonesia, dalam pusingan pertama.
“Pusingan pertama sangat penting kerana saya baru kalah kepadanya (dalam Terbuka Malaysia pada akhir Jun). Jadi, saya kena fokus untuk menewaskannya dahulu dan sekiranya berjaya, saya sasar boleh mara sehingga ke suku akhir.
“Ini Kejohanan Dunia kedua saya (selepas 2013), jadi saya rasa lebih yakin dan tidak gementar seperti kali pertama,” kata pemain Akademi Badminton AirAsia itu yang layak ke kejohanan itu secara merit selepas menjadi pemain kedua terbaik Malaysia berdasarkan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Selain Daren, Malaysia akan turut diwakili oleh Soniia Cheah dan Goh Jin Wei bagi kategori perseorangan wanita; Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Aaron Chia-Wooi Yik Soh (beregu lelaki); Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran).
-- BERNAMA