Skip to main content

Badminton

Berpasukan Asia: Skuad wanita jumpa Korea dalam suku akhir

vivian-hoo_1.jpg
Skuad badminton wanita Malaysia amat hampir mencipta kejutan ke atas Thailand sebelum tewas 3-2 untuk menutup aksi peringkat Kumpulan Y sebagai naib juara, seterusnya layak ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia, hari ini.

Dalam aksi di Alor Setar itu, dua perseorangan utama yang menjadi harapan serba tidak menjadi, bermula dengan pertemuan Soniia Cheah menentang Nichaon Jindapol. 

Soniia yang disifatkan berada dalam prestasi baik tidak berupaya untuk menggugat Nichaon sepanjang permainan. Akhirnya, Thailand mendahului 1-0 hasil kemenangan 21-14, 21-15.

Kembali menyamakan kedudukan adalah gandingan Tee Jing Yi -- yang menyambut hari lahir ke-27 -- bersama Vivian Hoo. Jing Yi menggantikan Woon Khe Wei yang cedera.

Menentang Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwon, pertembungan tiga set diperlukan untuk menentukan mata kedua sebelum Jing Yi-Vivian menang 21-19, 16-21, 21-15.

Seperti Soniia, Goh Jin Wei turut kecuncang menerusi aksi terumbang-ambing di tangan Pompawee Chochuwong. 

Malah, set pertama menyaksikan Jin Wei mendahului 19-17 sebelum tewas 21-19, lalu terpaksa mengejar bayang-bayang lawan dalam set berikutnya untuk rebah 21-17. 

"Mungkin ini adalah pengalaman buat saya untuk menghadapi situasi tegang. 

"Saya mohon maaf kepada rakan sepasukan. 

"Saya sudah mencuba sehabis baik tadi. Saya perlu cuba lebih baik lagi lain kali," kata Jin Wei. 

Skuad beregu sekali lagi menjadi penyelamat, kali ini menerusi pasangan Chow Mei Kuan-Goh Yea Ching, menentang beregu berpengalaman Thailand, Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai. 

Menerusi aksi agresif dan bertenaga, tiada siapa menduga Mei Kuan-Yea Ching menang straight set, 21-15, 21-15. 

"Kami tidak fikir soal menyerah kalah. 

"Kami hanya menumpukan permainan sendiri dan sedaya-upaya cuba untuk memungut mata," kata Mei Kuan. 

Aksi terakhir menemukan Lim Yin Fun dengan Busanan Ongbamrungphan yang menyaksikan sandaran terakhir Thailand itu terpaksa mengerah keringat sebelum menang 23-21, 22-20. 

Untuk itu, Malaysia yang mengumpul dua mata akan bertemu juara Kumpulan X, Korea Selatan, dalam suku akhir esok.  

Advertisement

Must Watch Video