Skip to main content

Badminton

Berpasukan Asia: Kekuatan mental skuad lelaki teruji

lee-chong-wei_7.jpg
Berada di bawah tekanan luar biasa, skuad lelaki negara tidak mengecewakan dalam memastikan kemenangan ke atas Taiwan malam ini untuk ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah. 

Datuk Lee Chong Wei kembali beraksi selepas direhatkan dalam pertemuan menentang Myanmar. 

Gagal mencari rentak sebenar ketika menentang Wang Tzu Wei sehingga tumbang 17-21 dalam set pertama, Chong Wei yang dunia kenali bangkit untuk menyamakan kedudukan selepas melakar kemenangan 21-13. 

Beraksi hampir sejam, pasti fizikal Chong Wei teruji, namun dia memastikan mata milik Malaysia menerusi kemenangan set penentuan 21-15. 

"Saya mendahului sepanjang set pertama sehinggalah satu insiden dia membalas pukulan saya, saya terkejut lalu kecewa dengan diri sendiri.

"Ia menjejaskan tumpuan saya. 

"Saya kembali fokus dalam set berikutnya dan sedar perlu lebih pantas lagi. 

"Keutamaan adalah pungutan mata, saya cuba memberikan yang terbaik," kata Chong Wei. 

Seterusnya, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, turun dengan keperluan membuktikan kredibiliti selaku beregu utama. 

Lee Jhe Hui-Lee Yang tidak menawarkan laluan mudah buat mereka apabila menawan set pertama 21-16 dan kemenangan 19-21 oleh wakil negara dalam set kedua memastikan permainan diheret ke set penentuan. 

Kritikan diketepikan, pujian wajar diberikan kepada Wee Kiong-V Shem yang menghadiahkan mata kedua buat Malaysia dengan kemenanggan 21-16. 

"Walaupun berdepan tekanan untuk meraih mata, kami tetap fokus sehingga set ketiga, saya perlu cuba memastikan pukulan balas kami lebih berkualiti," kata Wee Kiong. 

Perseorangan kedua, Lee Zii Jia, juga tidak mengecewakan apabila meletakkan Malaysia 3-0 di depan selepas menjinakkan Hsu Jen Hao. 

Di atas kertas, Jen Hao bukan sahaja memiliki kelebihan rekod pertemuan, malah dengan jurang 20 anak tangga dalam ranking dunia. 

Begitupun, Zii Jia mempamerkan aksi memukau untuk menang 21-16, 21-13. 

"Saya gembira dan teruja kerana ini salah satu permainan terbaik dalam karier saya. 

"Perasaan ini sukar digambarkan, apatah lagi bermain di tempat sendiri. Saya harap dalam aksi seterusnya, kami akan beraksi lebih baik lagi," kata Zii Jia. 

Advertisement

Must Watch Video