Skip to main content

Badminton

Berpasukan Asia: Aksi perseorangan wanita di luar jangkaan Seu Bock

suebock9218.jpg
Skuad wanita negara tidak berselindung dengan kelemahan di sebalik kelayakan ke pusingan akhir Piala Uber pada Mei ini menerusi kuota ranking dunia.

Misi untuk layak secara merit berakhir selepas tewas 3-0 kepada Korea Selatan dalam suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, semalam.

Skuad wanita Malaysia berada di ranking kelapan Asia dan kesembilan dunia -- kedudukan baik bagi mengisi peruntukan tiga slot pasukan ke pusingan akhir Piala Uber menerusi ranking dunia.

Ini dikukuhkan lagi dengan kejayaan China sebagai juara bertahan ke separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia itu.

Tetapi kekalahan 3-2 di tangan Thailand dalam aksi penutup kumpulan dan tewas 3-0 kepada Korea Selatan dalam suku akhir itu menyerlahkan kekecewaan skuad negara, terutama daripada skuad perseorangan.

"Memang kami layak ke pusingan akhir di Bangkok berdasarkan ranking. Namun, kami kecewa pemain perseorangan wanita tidak sampai jangkaan saya. 

"Saya jangka mereka bermain lebih baik dengan apa yang mereka lakukan di sini. Saya harap mereka bekerja keras lagi untuk pusingan akhir di Bangkok nanti," kata ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock.

Skuad beregu turut diuji dengan beberapa kecederaan, termasuk kepada pemain tonggak seperti kapten pasukan, Woon Khe Wei.

Bagaimanapun, jurulatih beregu wanita, Wong Pei Tty, berkata prestasi baik daripada pemain berstatus simpanan seperti Tee Jing Yi dan Goh Yea Ching menawarkan pilihan berbeza menuju pemilihan skuad Piala Uber dalam tempoh tiga bulan ini.

"Sekurang-kurangnya kami dapat buat persiapan baik. Kami dapat menggantikan pemain yang mengalami kecederaan. 

"Kami sudah beritahu pemain sebelum kejohanan ini, senarai akhir masih terbuka. Siapa yang bermain baik akan disenaraikan dalam skuad," katanya.

Advertisement

Must Watch Video