Skip to main content

Badminton

Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia: Sandaran utama negara mara ke pusingan kedua

badmintoncabaranantarabangsa18418.jpg
Tiga sandaran utama negara tidak menghadapi masalah untuk mengesahkan kemaraan selepas memenangi pusingan pertama, Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Antara perlawanan yang mencuri tumpuan adalah dalam acara beregu campuran yang menggabungkan pemain senior, Lai Pei Jing, dan Hoo Pang Ron.

Diletakkan sebagai pilihan keenam, pasangan negara itu mudah menewaskan wakil dari Taiwan, Chi Yu Jen-Hsieh Pei Shan, 21-13, 21-9.

"Saya rasa saya bermain baik dalam perlawanan hari ini. Mungkin dalam pusingan pertama, lawan pun tidak kuat sangat. Saya harap dapat fokus satu demi satu perlawanan," kata Pei Jing.

Turut cemerlang adalah pasangan muda, Chen Tang Jie dan Peck Yen Wei, yang menundukkan pasangan dari China, Dai Enyi dan Xia Yuting, dengan keputusan straight set 21-17, 21-17.

"Kami memberikan persembahan yang baik hari ini. Tetapi ada juga tidak stabil dalam set kedua. Selepas berbincang dengan jurulatih, kami boleh bangkit semula," kata Tan Jie.

Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, Lim Yin Fun, yang turun sebagai pilihan kelapan, juga tidak menghadapi masalah untuk mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan wakil dari Jepun, Asuka Takahashi.

Yin Fun hanya memerlukan 35 minit untuk menundukkan lawannya itu 21-19, 21-12.

"Mental saya dalam keadaan baik dan bersemangat. Hari ini keyakinan saya juga sangat baik," kata Yin Fun.

Advertisement

Must Watch Video