Skip to main content

Badminton

Badminton Berpasukan Asia: Skuad lelaki mudah atasi Myanmar

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

iskandar-zulkarnain-160118.jpg
Skuad lelaki negara memastikan tiada kejutan berlaku apabila menewaskan Myanmar 5-0 malam ini dan membina momentum menjelang pertemuan 'hidup mati' menentang Taiwan esok untuk melayakkan diri ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah.

Dalam pertemuan kedua Kumpulan C itu, kelima-lima wakil Malaysia meraih kemenangan mudah menerusi straight set menentang lawan masing-masing.

Lee Zii Jia menghadiahkan mata pertama menerusi kemenangan ke atas Phone Pyae Naing 21-3, 21-10 untuk menyemarakkan semangat kem Malaysia yang tewas 2-3 kepada Thailand, semalam.

​​"Sangat teruja kerana ini kali pertama saya bermain untuk perseorangan pertama negara. Hari ini seperti aksi pemanas badan, yang penting adalah esok (menentang Taiwan). Saya harap kami dapat melakukan kejutan," kata Zii Jia.

Perseorangan kedua, Soong Joo Ven, juga tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Aung Myo Htoo 21-9, 21-7 bagi membawa pasukan negara mendahului 2-0.

"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan saya malam ini. Saya lebih faham dengan apa yang diterapkan jurulatih (Datuk Misbun Sidek). Ini adalah perlawanan baik bagi saya. Siapa yang bermain esok pastinya akan beraksi bersungguh-sungguh," kata Joo Ven.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin kemudian mengesahkan kemenangan Malaysia apabila mengatasi Chan Win Oo 21-10, 21-10.

Malaysia, yang merehatkan Datuk Lee Chong Wei dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong malam ini, turun tanpa tekanan untuk meneruskan kemenangan keempat dan kelima menerusi wakil beregu.

Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi hanya membenarkan lawan mereka, Arkar Phone Myat-Hein Si Thu Toe, mengutip lima mata dalam setiap set dengan kemenangan 21-5, 21-5.

"Hari ini adalah perlawanan mudah bagi kami. Kami mencuba taktik untuk perlawanan esok kerana esok adalah aksi penting. Saya harap dapat terus menghadiahkan mata untuk Malaysia," kata Yew Sin.

Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani pula melakar kemenangan 21-12, 21-9 ke atas Aung Myo-Chan Win untuk melengkapkan penguasaan penuh Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video