Setelah lewat empat bulan daripada perancangan asal, akhirnya skuad badminton negara mendapat lampu hijau untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia buat kali pertama, bermula hari ini.
Kemudahan yang disediakan ialah meliputi 18 gelanggang badminton selain gimnasium, bilik persidangan, perpustakaan dan asrama yang masih belum siap sepenuhnya.
Paling menarik, Pengurus Besar, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lawrence Chew, mengesahkan akan ada dua gelanggang diwujudkan khas untuk tujuan penyelidikan prestasi pemain.
Teknologi itu bersesuaian dengan apa yang diterapkan oleh beberapa negara Eropah seperti England dan Perancis.
"Kami akan mewujudkan dua gelanggang bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R & D).
"Kami akan meletakkan kamera berkelajuan tinggi untuk kami menganalisis prestasi pemain serta membuat kajian saintifik.
"Ia bukan perkara baru, cuma kami masih belum menggunakannya lagi dan saya berpendapat adalah penting untuk menggabungkan sains dengan sukan," ujarnya.
Menurut Lawrence, terdapat pertambahan 18 lagi gelanggang di Stadium Juara, sekaligus menjadikan 36 secara keseluruhan.
Ia akan menampung sasaran BAM yang mahu menggabungkan pemain elit serta pemain remaja dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di bawah satu bumbung.
"Ketika ini, kami mempunyai seramai 36 pemain elit.
"Sebaik pemain SSBJ menyertai kami, ia akan menjadikan angka keseluruhannya 125 pemain.
"Di sini mampu menampung sehingga 160 peserta. Sasaran kami adalah seramai 140 peserta dan (slot) penginapan selebihnya akan digunakan untuk kem latihan, pendidikan dan seumpamanya."
Shaiful Shamsudin
Tue Jan 31 2017