Hasrat PDRM Defenders untuk mendapatkan khidmat perejam muda, Shaharil Aiman, bagi saingan Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen 1 musim ini tidak kesampaian setelah perejam yang mahir membuat rejaman gulung itu masih belum melengkapkan latihan rekrut di Pusat Latihan Polis Malaysia (PULAPOL).
Aiman mencipta sensasi apabila muncul antara tonggak penting untuk Penang Black Panthers musim lalu.
Namun ibarat pepatah, 'Tiada rotan, akar pun boleh', PDRM masih boleh bergantung kepada kembarnya, Shaharil Amin, yang beraksi di posisi apit kiri.
PDRM diundi berada dalam Kumpulan A, bersama Melaka Titans, Sabah Mountaineers, KPT-MASUM Knights dan SSC Hunter.
"Ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagaimanapun saya tetap akan berusaha memberikan yang terbaik buat pasukan dengan sasaran untuk kembali ke divisyen perdana," kata Shaharil Amin.
"PDRM tidaklah meletakkan taruhan terhadap kemampuan yang dimiliki oleh Shaharil Aiman kerana dia memiliki tugasan yang perlu diutamakan," kata jurulatih PDRM, Amri Hashim.
Ammar Hakim
Mon Jan 31 2022