Skip to main content

Rencana

Zidane Factor!

zidane_1.jpg
Penyerang Real Madrid, Karim Benzema meledakkan dua gol pada perlawanan menentang Villareal yang sekaligus mengesahkan mahkota kejuaraan La Liga buat Los Blancos untuk musim 2019/2020.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Alfredo Di Stefano, Real Madrid meneruskan rentak cemerlang dengan kemenangan kesepuluh berturut-turut dan hanya dibolosi tiga kali sahaja. Kemenangan 2-1, disamping kekalahan Barcelona 2-1 kepada Osasuna menyaksikan Real Madrid berjaya muncul juara biarpun liga berbaki satu perlawanan.

Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane berjaya menggagalkan hasrat The Catalan untuk meraih hatrik kejuaraan liga selepas muncul juara dua musim berturut-turut sebelum ini. Selain itu, sejak liga bersambung semula, Real Madrid menampilkan aksi konsisten manakala seteru mereka Barcelona terus dibelenggu masalah dalaman yang masih belum selesai. Biarpun ada pihak yang mendakwa Real Madrid mendapat 'bantuan' dari VAR, namun tidak boleh disangkal bahawa kemenangan demi kemenangan yang diraih bukanlah sekadar nasib.

Ini merupakan trofi ke 11 Zidane bersama Real Madrid selepas 209 perlawanan, justeru itu, Presiden Los Blancos, Florentino Perez tanpa berselindung memuji Zinedine Zidane yang dianggap "anugerah dari syurga" kepada pasukan Real Madrid. 

Masakan tidak, disaat Zidane membuat keputusan meninggalkan Santiago Bernabeu pada 2018, Real Madrid berada dalam situasi terumbang ambing selepas jurulatih seperti Santiago Solari dan Julen Lopetegui gagal meneruskan legasi yang ditinggalkan Zidane. Akhirnya Zidane kembali dilantik menjadi ketua jurulatih dan inilah hasilnya.

Dalam masa sama, ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos yang sudah menjangkau usia 34 tahun musim ini dijangka akan menamatkan kariernya di Santiago Bernabeu. Florentino Perez sendiri mengakui bahawa Ramos merupakan watak penting di Real Madrid dan jasanya melebihi dari sekadar ketua pasukan. Bagi Ramos pula, beliau menyerahkan semuanya kepada presiden kelab, jika presiden mahukan dia bersara, ianya bukan satu masalah buat Ramos.

Advertisement

Must Watch Video