Skip to main content

Rencana

WWE Evolution: Menjulang divisyen wanita ke tempat selayaknya

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

evolution-main-image.jpg
Tanggal 29 Oktober ini, sejarah akan terlakar sekali lagi apabila buat pertama kalinya dalam sejarah WWE, sebuah acara pay-per-view khas untuk penggusti wanita akan dipancarkan secara langsung di rangkaian WWE Network.
 
Acara bersejarah yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Penjenamaan WWE, Stephanie McMahon pada 23 Julai lalu ini bakal menampilkan hampir kesemua bintang wanita WWE dari jenama Raw, Smackdown dan tidak ketinggalan NXT. Bukan itu sahaja, kesemua kejuaraan wanita dari setiap jenama turut akan dipertaruhkan di acara tersebut termasuk perlawanan akhir kejohanan Mae Young Classic yang bakal mengangkat juara bagi edisi keduanya.
 
Sebaik sahaja pengumuman tentang acara ini dilakukan, semua bintang-bintang wanita WWE telah mempamerkan rasa keterujaan untuk menjayakan acara khusus bagi meraikan mereka yang selama ini telah berhempas pulas berusaha sedaya upaya untuk meletakkan divisyen mereka setanding dengan bintang-bintang lelaki WWE.
 
Pastinya kegembiraan mereka ini ada asasnya. Manakan tidak, perjalanan hampir tiga dekad selama ini penuh liku dan sering dilabel sebagai kelas kedua dan kadang kala hanya menjadi sesi toilet break sahaja buat penonton. Kini, dengan usaha tanpa henti, para bintang wanita ini mampu tersenyum lebar kerana evolusi untuk memartabatkan mereka tiba ke kemuncak dan akan terus mekar di tahun-tahun mendatang.
 

 
Mengimbau semula sejarah bermulanya divisyen wanita di WWE, langkah pertamanya dibuka seawal tahun 1956 oleh bintang Hall of Fame WWE, mendiang Fabulous Moolah di mana beliau telah merangkul Kejuaraan Wanita NWA (National Wrestling Alliance) dengan menewaskan Judy Grable. Menariknya, kejuaraan ini dirangkul selama 27 tahun tanpa tewas dan kemudian di bawa masuk ke WWE pada tahun 1983, sekaligus menobatkan Moolah sebagai Juara Wanita pertama di syarikat milik Vince McMahon itu.
 
Satu demi satu bintang wanita mula dibawa masuk. Hasilnya, beberapa figura lagenda wanita mula mencipta nama seperti Miss Elizabeth, Sister “Sensational” Sherri, Rockin’ Robin, Leilani Kai, Luna Vachon dan ramai lagi. Wajah-wajah ini bukan sahaja bertindak sebagai penggusti, malah turut berperanan sebagai valet pengiring penggusti-penggusti ternama ketika itu.
 
Kejuaraan Wanita yang dibawa masuk oleh Moolah tidak bertahan lama. Setelah lima tahun ia dipertaruhkan, kejuaraan ini dibekukan dan tidak lagi dipertandingkan sehingga ia dipertandingkan semula pada tahun 1993 setelah WWE memutuskan untuk menaikkan semula divisyen wanita. Justeru, Madusa Micelli yang kemudian dikenali sebagai Alundra Blayze menjadi ayam tambatan Vince McMahon dengan bergelar juara apabila memenangi kejohanan enam wanita.
 
Alundra berdepan cabaran lebih getir untuk mempertahankan kejuaraannya apabila beberapa nama lagi menyertai WWE termasuk penggusti wanita dari Jepun seperti Bull Nakano dan Aja Kong. Pada Disember 1995, WWE tidak lagi menyambung kontrak Alundra yang masih lagi bergelar juara waktu itu, menyebabkan beliau ‘melompat kapal’ ke syarikat pesaing WWE iaitu WCW (World Championship Wrestling). Tentunya peminat gusti seluruh dunia masih mengingati babak di mana Alundra yang kemudian menukar nama gelanggangnya kepada Medusa, memasukkan bengkung Kejuaraan Wanita WWE ke dalam tong sampah secara langsung di acara WCW Monday Nitro.
 
Era New Generation yang bermula pada tahun 1994 hingga 1997 tidak begitu memberi fokus kepada gusti wanita. Sebaliknya, bintang-bintang wanita pada ketika itu dilihat hanya sebagai modal untuk para peminat mencuci mata. Populariti bintang-bintang seperti Sunny, Sable, Marlena dan lain-lain begitu ditunggu-tunggu oleh peminat berhidung belang kerana aksi dan pakaian mereka yang menjolok mata.
 

 
Bagi menyaingi WCW, Vince McMahon memperkenalkan Attitude Era yang mana ia merupakan zaman di mana produk WWE dilihat lebih ganas, berani dan provokatif. Bintang-bintang wanita juga turut mendapat tempiasnya. Sable yang sebelum itu hanya menjadi menjadi valet kepada suaminya Marc Mero, beralih menjadi penggusti dan turut memenangi Kejuaraan Wanita yang dipertandingkan semula pada tahun 1998. Beberapa penggusti wanita berbakat juga turut memeriahkan divisyen itu dengan kemasukan nama-nama seperti Jacqueline, Ivory, Tori dan ramai lagi.
 

 
Penyertaan seorang wanita berbadan sasa dan berotot kekar yang menjadi pengiring kepada Triple H pada lewat 1997 turut mencipta sejarahnya yang tersendiri. Buat kali pertama, seorang penggusti lelaki menggunakan khidmat seorang wanita sebagai pengawal peribadi. Chyna yang dikatakan berasal dari Kepulauan Amazon dilihat begitu menggerunkan, sehingga beliau tidak bertanding untuk divisyen wanita.
 
Sebaliknya, Chyna menempa nama dengan bergusti dengan bintang-bintang lelaki. Setelah berpisah dengan Triple H dan De-Generation X, bintang yang nama sebenarnya adalah Joanie Laurer ini mencipta sejarah sebagai peserta wanita pertama menyertai perlawanan Royal Rumble dan memenangi Kejuaraan Antara Benua dengan menewaskan Jeff Jarrett di acara WWE No Mercy 1999.
 
Divisyen wanita terus rancak apabila bintang-bintang seperti Lita dan Trish Stratus pula mengambil alih baton daripada bintang terdahulu. Gaya akrobatik Lita yang memukau di samping karisma Trish begitu mempersonakan. Ia ditambah lagi dengan kemasukan bekas bintang WCW seperti Torrie Wilson dan Stacy Kiebler yang berjaya membuatkan WWE Universe terus terpaku dan tidak kurang juga yang terpanah asmara.
 

 
Jenama NXT yang dikemudi Triple H bermula tahun 2013 menjadi titik tolak kepada bermulanya revolusi gusti wanita. Charlotte Flair, Sasha Banks, Becky Lynch dan Bayley yang merupakan bintang dalam pembikinan membuat semua NXT Universe terpempan dengan aksi-aksi hebat mereka saban minggu. Penguasaan The Four Horsewomen ini diteruskan apabila masing-masing menyertai roster utama Raw dan Smackdown beberapa tahun kemudian.
 
Daripada jerih perih mereka dan beberapa bintang lain inilah, membuatkan divisyen wanita mula bangkit semula dari zaman suramnya. Mereka mula terlibat dalam perlawanan dan sengketa berprofail tinggi dan perlawanan-perlawanan yang sebelum ini didominasi bintang lelaki, turut mereka sertai seperti perlawanan TLC, Hell In A Cell dan juga Royal Rumble.
 
Justeru, acara WWE Evolution pada Isnin ini pastinya akan membawa lembaran baharu yang lebih gemilang buat divisyen wanita. Ciap #GivesDivasAChance yang pernah sohor kini di Twitter pada satu ketika, kini sudah boleh dilupakan kerana divisyen ini telah mampu untuk berada setaraf dengan bintang lelaki di WWE.
 

 
Berikut merupakan senarai perlawanan yang akan mengambil tempat di acara WWE Evolution:
1. Ronda Rousey menerima cabaran daripada Nikki Bella untuk Kejuaraan Wanita Raw
2. Charlotte Flair bertekad untuk merampas Kejuaraan Wanita Smackdown daripada Becky Lynch
3. Lita & Trish Stratus sahut cabaran daripada Alexa Bliss & Mickie James
4. Kairi Sane bertemu Shayna Baszler untuk perebutan Kejuaraan Wanita NXT
5. Sasha Banks, Natalya & Bayley menentang The Riott Squad
6.Toni Storm mengikat janji temu dengan Io Shirai bagi perlawanan akhir Kejohanan Mae Young Classic
7. Perlawanan Historic Battle Royal Wanita bagi peluang untuk merebut Kejuaraan Wanita
 
(Foto: WWE.com)
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Evolution pada 29 Oktober ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 
 

Advertisement

Must Watch Video