Izinkan saya untuk “menyimpang” kali ini. Jauh daripada bola sepak, saya memilih sesuatu yang sama-sekali berbeza untuk merakamkan sanjungan, memanifestasikan kekaguman.
Bagi seorang bekas ahli sukan, termasuk bekas pemain bola sepak, tiada salahnya untuk mengiktiraf pencapaian terhebat dalam sukan berlainan atas semangat “sukan itu sebenarnya amat mengasyikkan”.
Advertisement
Saya akui saya jauh daripada seorang yang layak untuk membicarakannya, namun apa yang saya paparkan kali ini adalah himpunan pelbagai pengiktirafan terhadap seorang jaguh biarpun daripada ras dan budaya yang berbeza.
Pada penghujungnya nanti, harapan saya ialah kita sama-sama dapat menjiwai erti kesengsaraan, pengorbanan dan sikap tidak mengenal erti putus asa untuk kembali meniti landasan kejayaan.
Begini ceritanya… (ikutilah kalaupun anda bukan seorang peminat golf)
Hanya segelintir atlet yang pernah mendominasi satu sukan seperti Tiger Woods.
Tapi kejayaan terbaru dalam karier gemilangnya tidak harus dianggap apa saja kecuali “luar biasa”.
Lebih daripada lima tahun selepas kemenangannya yang ke-79 dalam Jelajah PGA, Woods, kini berusia 42 tahun, memahatkan kemenangan buat kali ke-80, Ahad lalu, dalam kejohanan penutup musim – Kejohanan Jelajah – di East Lake.
Sepanjang empat hari yang mengujakan di Atlanta, Amerika Syarikat, dia mengembalikan ingatan kepada kejaguhan Tiger di zaman kemuncaknya.
Seorang pejuang tiada tolok bandingnya di lapangan yang dengan rakus menghimpun 14 kejuaraan utama di antara 1997 dan 2008 – merentasi sukan yang didominasinya sambil dia terus menjulang dirinya selaku antara figura terhebat di planet ini.
Namun, di sebalik segala kejayaan silamnya, kemenangannya di East Lake itu benar-benar menakjubkan dengan mengambil kira kesengsaraan yang dilaluinya sejak beberapa tahun kebelakangan.
Pada ketika Woods mengatur langkahnya di fairway lubang no.18 dalam pusingan akhir Ahad lalu, dengan dikerumuni lautan penonton, mudah sekali untuk melupakan bahawa bintang terbesar golf ini secara terbuka mengakui hanya 12 bulan lalu bahawa dia tidak pasti mampu bermain secara kompetitif semula.
Satu siri pembedahan ternyata gagal mengembalikan Woods ke tahap kecergasan sebenarnya, dengan setiap satu cubaannya untuk kembali, menelusuri tema kegagalan yang sama – bekas pemain nombor satu dunia itu hanya bayangan pudar daripada kecemerlangan silamnya sebelum dipaksa berundur semula.
Ramai legenda golf, pemain seangkatannya dan tidak kurang juga barisan pewaris takhtanya yang bertaruh bahawa Woods tidak akan mampu bergelar juara sekali lagi.
Satu-satunya sagu hati buatnya, kata mereka semua, ialah Woods harus terus hidup bertemankan memori daripada kejayaan masa lalunya.
Tapi, apa yang mereka terlupa, Woods adalah Tiger…
(BERSAMBUNG)