Skip to main content

Rencana

Watford ganti tempat Leicester?

cover-watford.jpg
Watford kini berada di tahap terbaik selepas melalui permulaan cemerlang dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini susulan kejayaan mencatat kemenangan dalam kesemua empat perlawanan.
 

Malah, ketika ini mereka berada di tangga ketiga liga dan penyokong The Hornets mula membandingkan pencapaian pasukan kegemaran mereka dengan apa yang dilalui Leicester City setahun sebelum melakar kejutan meraih status juara England pada 2016.
 

 
Sejauh mana Watford mampu mengikuti jejak langkah yang dilakukan oleh The Foxes, hanya masa yang akan menentukan tetapi apakah faktor yang menjurus kepada kecemerlangan skuad bimbingan Javi Garcia itu musim ini?
 
Garcia tiba di England pada Januari tahun lalu, enam bulan setelah meninggalkan Rubin Kazan secara persetujuan bersama susulan pencapaian kelab Russia itu sekadar menduduki tangga kesembilan liga bagi musim 2016/17.
 

 
Selepas menjadi pengganti kepada Marco Silva, permulaan kehidupannya di England juga tidak memberangsangkan apabila debut bersama The Hornets menyaksikan pasukannya tersingkir daripada saingan Piala FA dalam pusingan keempat setelah tewas di tangan Southampton.
 
Menamatkan saingan liga di tangga ke-14 musim lalu, Garcia berdepan tamparan hebat bagi menghadapi saingan musim ini apabila kehilangan khidmat beberapa tonggak utama seperti Mauro Zarate, Nordin Amrabat serta pemain paling menyinar buat Watford musim lalu, Richarlison, yang berhijrah ke Everton.
 

 
Jika ada pihak yang menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur baru-baru ini hanya satu kebetulan, pendapat itu mungkin perlu dipertimbangkan semula kerana mereka telah membuktikan keberanian untuk menghadapi pasukan gergasi di England sejak musim lalu apabila mengikat Liverpool 3-3 (Ogos 2017), menundukkan Arsenal 2-1(Oktober 2017) serta membelasah Chelsea 4-1 (Februari 2018).
 
Tatkala banyak pihak memandang sebelah mata cabaran yang bakal diberikan Watford, lebih-lebih lagi selepas kehilangan Richarlison, Garcia telah mencipta persekitaran baru di Vicarage Road.
 

 
Setiap pemain dalam pasukan telah diterapkan dengan mentaliti yang utuh ketika beraksi, tidak kira di laman sendiri atau tempat lawan.
 
Pengalaman yang diraih Garcia sewaktu berkelana ke Sepanyol, Greece dan Russia sebelum ini jelas telah diterjemahkan ke dalam skuad bimbingannya itu.
 
Selain itu, ketajaman di depan gol ketika ini juga mampu menjadi pemangkin kepada usaha The Hornets untuk mengelakkan penurunan prestasi dalam babak kedua liga seperti yang diharungi sebelum ini.
 
Mereka mencatat sembilan gol hasil daripada empat kemenangan yang diraih dalam liga setakat ini dan ia menjadi bukti bahawa percaturan Garcia untuk menggandingkan kapten, Troy Deeney, dan Andre Gray di barisan depan bersama sokongan Roberto Pereyra berbaloi selepas lebih banyak mempertaruhkan penyerang tunggal pada musim lalu.
 

 
Sekali lagi, mungkin terlalu awal untuk menilai aksi cemerlang Watford tetapi harus diingat, tidak mustahil kejayaan Leicester pada musim 2015/16 mampu diekori The Hornets kerana itulah elemen kejutan yang sering hadir daripada Liga Perdana Inggeris.

Advertisement

Must Watch Video