Skip to main content

Rencana

The Viking Clap kembali lagi...

viking-clap-141017.jpg
Tepukan kuat dengan tempo perlahan ke pantas, diikuti sorakan bersemangat yang menimbulkan irama padu pernah mencuri tumpuan pada kejohanan Euro 2016, terutama selepas kejayaan Iceland menyingkirkan England. 

Selepas setahun, tepukan ini kembali memukau seluruh peminat bola sepak yang turut sama mengagumi kehebatan Iceland yang mara buat kali pertama ke pentas Piala Dunia.

Ketika tepukan Gylfi Sigurdsson dan Aron Gunnarsson selepas meraikan kemenangan ke atas Kosovo di Reykjavik minggu lalu menjadi tular, kisah Antoine Griezmann dan Olivier Giroud bersama Perancis melakukan Viking clap untuk meraikan kemaraan ke Rusia pula dikutuk di media sosial. 

Ramai berpandangan juara dunia 1998 ini perlu kekal dengan identiti sendiri dan tidak kurang juga yang merasa jelak dengan Perancis dan enggan lagi menyokong Les Bleus.

Namun, apakah the viking clap sememangnya milik Iceland sejak dahulu?

Seperti Haka yang sinonim dengan pasukan ragbi New Zealand, sorakan ganas dan menggambarkan betapa mereka tidak gentar berdepan lawan, Viking clap juga dilihat sesuai dibawa Iceland sebagai cerminan kepahlawanan yang ada dalam tradisi negara mereka, negara kecil yang mungkin masih belum jelas pada pengetahuan masyarakat dunia.

Di sebalik imej Iceland yang dipersembahkan menerusi Viking clap, ia sebenarnya diadaptasi daripada penyokong pasukan Liga Perdana Scotland, Motherwell. Pertemuan pasukan Iceland, Stjarnan dengan Motherwell pada pusingan kelayakan Liga Europa 2014 adalah permulaan kepada Viking clap. 

Pesona yang ada pada tepukan ini mudah diresapi para penyokong dan pemain sehingga dibawa ke aksi pasukan kebangsaan.

Iceland yang cukup maklum dengan status pasukan underdog, sebenarnya tidak menyangka sama sekali akan diberikan tumpuan sehebat ini, tatkala niat mereka hanyalah mahu memperbaiki sejarah bola sepak negara mereka. 

Atas niat murni dan kerja keras menerusi pembangunan bola sepak yang dirangka kira-kira 20 tahun lalu, Viking clap boleh dikatakan mempercepatkan lagi nama Iceland meniti daripada bibir ke bibir. 

Percaya atau tidak, ada pasukan sudah berkira-kira tidak mahu berjumpa dengan Iceland pada pusingan awal nanti. Penyokong yang mendapatkan tiket ke stadium pula mula membuat semakan jika berkesempatan menyaksikan sendiri Viking clap secara terus dihadapan mata. 

Maka, tidak keterlaluan jika dikatakan perlawanan membabitkan Iceland di Rusia nanti antara yang dinantikan, selain kelibat pasukan sehebat Brazil dan juara bertahan, Jerman. 

Semuanya menanti kejutan Iceland yang pastinya disusuli Viking clap.

Advertisement

Must Watch Video