Skip to main content

Rencana

Usia muda bukan lagi 'X-Factor' Jin Wei

goh-jin-wei-040717_1.jpg
Goh Jin Wei muncul Juara Remaja Dunia 2015 di Lima, Peru, pada usia 15 tahun dalam acara perseorangan perempuan.

Kini berusia 17 tahun di ranking 44 dunia, Jin Wei -- pemain nombor satu perseorangan wanita negara -- dijangka akan terus mencabar pemain terbaik dunia walaupun kecewa gagal menjuarai kejohanan GP Emas buat kali pertama setelah tewas kepada lawan berusia 19 tahun, Saena Kawakami, di Terbuka Taiwan, kelmarin.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan para peminat badminton negara teruja lahirnya satu permata yang dicari-cari setelah persaraan Datin Wong Mew Choo.

Segala tumpuan diberikan kepada pemain dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, ini dengan harapan dia akan mengegarkan dunia antarabangsa badminton. 

Walaupun ketinggian tidak berpihak kepada Jin Wei pada 1.59 meter tetapi kematangannya dalam gelanggang pada usia begitu muda amat disanjungi.

Menjinakkan diri dalam sukan badminton pada usia enam tahun dan pernah berlatih di bawah bekas jurulatih Dato’ Lee Chong Wei, Teh Beng Huat, di Berapit, ramai pencabar lebih berumur begitu juga para peminat tergamam melihat Jin Wei menampilkan pergerakan lancar dengan skil pukulan menakjubkan.

Jika dulu usia muda Jin Wei menarik perhatian ramai tetapi lama-kelamaan bakat luar biasanya mula dinilai dengan prestasi. 

Realitinya jika Malaysia teruja dengan kehebatan Jin Wei, masih ada ramai lagi pemain remaja yang juga berbakat tinggi sudah pun menempa nama di persada senior antarabangsa. 

Antaranya, juara dunia remaja tiga kali dari Thailand, Ratchanok Intanon, yang menjuarai Kejohanan Remaja Dunia pada usia 14 tahun dan tiga tahun kemudian, dia berada di ranking keenam dunia.

Ratchanok yang berlatih di bawah jurulatih tempatan Thailand meneruskan kecemerlangannya sebagai juara dunia pada 2013 serta pemain nombor satu dunia. 

Akane Yamaguchi, pemain Jepun pada usia 16 tahun menjuarai Kejohanan Remaja Dunia pada 2013 di Bangkok dan mencapai ranking terbaiknya di kedudukan kedua dunia pada Mac 2017.

Juara Remaja Dunia 2016, Chen Yufei, dari China kini berada di ranking 11 dunia.

Jelas Jin Wei tidak boleh selesa dengan pencapaiannya kerana ramai yang percaya dia boleh pergi lebih jauh termasuklah pemimpin utama BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, yang merombak program badminton remaja negara kerana ujarnya bagi melahirkan pemain terbaik senior antarabangsa akan datang, para pemain remajalah yang menentukannya. 

Tahap fizikal, mental, emosi dan skil para pemain remaja akan dipantau secara serius oleh pasukan jurulatih berpengalaman di mana langkah pertama adalah membawa semua pemain berusia 13 hingga 17 tahun Sekolah Sukan Bukit Jalil untuk berpangkalan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara bermula Januari 2018. 

Oleh itu, pemain muda berpotensi tinggi seperti Jin Wei perlu dibimbing supaya mempunyai impian lebih besar dan gemilang di persada antarabangsa. 

Advertisement

Must Watch Video