Skip to main content

Advertisement

Rencana

Urusan membeli-belah pemain rancak

real-madrid.jpg
Saingan Piala Dunia 2018 telah pun berakhir dan pastinya tumpuan kini terarah kepada persiapan pasukan yang beraksi di liga utama. Sama ada La Liga, Liga Perdana Inggeris (EPL), Serie A mahupun Ligue 1, kesemuanya sedang sibuk mendapatkan pemain baru bagi memperkuatkan pasukan.

Paling mencuri tumpuan tentunya pemergian Cristiano Ronaldo dari Real Madrid ke Juventus. Selain itu, bintang Real Madrid seperti Marcelo dan Keylor Navas juga dilaporkan mahu beraksi bersama pasukan baru. Penulis melihat situasi ini sebagai satu proses normal bagi pasukan Real Madrid untuk “menyalin” semua kudrat lama kepada pemain baru. Jika dulu mereka ada The Galaticos yang dibarisi Ronaldo, David Beckham, Luis Figo, Zinedine Zidane dan Iker Cassilas, kini Real Madrid memiliki Cristiano Ronaldo, Gareth Bale, Karim Benzema, Luka Modric, Marcelo dan Toni Kroos. Penulis percaya bintang-bintang ini akan ditukar sedikit demi sedikit dan memberi ruang kepada pemain baru seperti Harry Kane, Eden Hazard dan Thibaut Courtois menyertai rakan-rakan di Santiago Bernabeu.

Bagi Juventus pula, kemasukan Cristiano Ronaldo  pasti akan menambah lagi kemasukan beberapa pemain baru seperti Matteo Darmian, malah ada gosip mengatakan mereka mahu mendapatkan semula Paul Pogba. Namun, dalam masa sama, bintang tengah mereka, Miralem Pjanic dikhabarkan mahu berhijrah ke EPL mahupun La Liga selepas tujuh tahun berada di Itali.

Finalis Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pula, Liverpool, dilihat begitu rancak membelanjakan wang untuk menambah sengat kepada pasukan mereka. Kejadian yang berlaku dalam final amat memberikan kesan kepada mereka hinggakan Liverpool bergegas mendapatkan khidmat penjaga gol nombor satu Brazil, Allison Becker dari AS Roma dengan nilai perpindahan hampi RM355 juta ringgit. Mereka juga telah mendapatkan beberapa pemain baru seperti Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri selepas meminggirkan beberapa seperti Emre Can yang menyertai Juventus.

Pasukan-pasukan lain seperti Manchester City , Manchester United, Barcelona, dan Borussia Dortmund juga dilihat sedang rancak melakukan urusan jual beli pemain dan dikhabarkan, akan berlaku rombakan besar-besaran di Allianz Arena selepas kemasukan jurulatih baru, Niko Kovac. Arsenal juga rancak melakukan pembelian pemain dengan mendapatkan Sokratis, Lucas Torreira, Stephan Lichstainer dan penjaga gol baru, Bernd Leno.

Penulis mengharapkan urusan jual beli pemain pada jendela perpindahan kali ini akan ada beberapa kejutan baru agar kemeriahan dan keindahan bola sepak dapat terus dinikmati oleh peminat di seluruh dunia.

Advertisement

Must Watch Video