Skip to main content

Rencana

Tuah angka 22 buat Pulau Pinang

pulau-pinang-fa.png

Perlawanan Liga Super yang ke-22 pada 22 Oktober, 22 mata yang dipungut oleh Pulau Pinang menyaksikan mereka terselamat untuk satu musim lagi di saingan Liga Super.

Sebelum jaringan Faizat Ghazli pada minit 89, lebih 8,000 penyokong yang berada di Stadium Bandaraya sebenarnya sudah berputus asa dan ada segelintir mereka sudah mula meninggalkan tempat duduk masing-masing.

Namun, kata orang, kalau sudah rezeki sudah tidak ke mana..setelah 20 percubaan gagal buahkan jaringan, akhirnya gandingan dua bekas penyerang Harimau Muda yang juga anak jati Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew dan Faizat pastikan skuad Harimau Kumbang tidak tersingkir ke pentas Liga Perdana.

Kemenangan yang sebenarnya begitu bermakna kepada Pulau Pinang kerana sebelum perlawanan, skuad Harimau Kumbang menjadi pilihan utama tersingkir ke Liga Perdana bersama Terengganu.

Bagi para penyokong, setelah pelbagai ranjau yang dilalui oleh Pulau Pinang terutama daripada segi pengambilan pemain import yang boleh dipersoalkan daripada bekas jurulatih, Jacksen F. Tiago, mereka berhak merayakan kejayaan pasukan kekal di Liga Super.

Mujur kehadiran pemain import dari Korea Selatan, Jeong Seok-Min menggantikan pertahanan, Brent Griffiths yang sebenarnya berada dalam krisis kecederaan meletakkan Pulau Pinang kembali bernyawa sehingga ke aksi terakhir Liga Super.

Daripada enam mata sahaja yang mampu dipungut mereka sebaik pusingan pertama Liga Super berakhir, 17 mata di bawah kendalian Nenad Bacina dalam 10 perlawanan, nyata bukan satu rekod  menghampakan.

Namun, jika Pulau Pinang serius mahu kekal beri cabaran kepada saingan Liga Super musim depan, mereka perlu buat rombakan menyeluruh pada skuad sedia ada.

Lima hingga enam pemain-pemain tempatan berpengalaman harus dibawa masuk selain kekalkan bintang-bintang muda seperti Jafri, Faizat, S. Kumaahran dan Syamer Kutty Abba dan penyerang import berkualiti.

Jika tidak, skrip sama bakal berulang lagi seperti mana musim ini.

Kepada Terengganu, tindakan terlalu awal Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengumumkan senarai pemain yang kekal musim depan selain dalam usaha dapatkan khidmat bekas jurulatih Felda United, Irfan Bakti, mungkin beri kesan kepada persembahan pemain di hujung musim.

Hanya dua mata mampu diraih daripada lima perlawanan jelas menunjukkan Terengganu sudah hilang selera kerana kebanyakan pemain mereka akan berhijrah ke pasukan lain musim depan.

Seperti ada satu yang tidak kena dalam PBSNT sehingga menyaksikan mereka kehilangan dua orang kuat mereka iaitu bekas pengurus, Marzuki Sulong dan Arpin Draman selaku Setiausaha.

Mereka juga satu-satunya pasukan yang menyaksikan empat pelantikan jurulatih dibuat pada satu musim tetapi itu semua tidak berikan kesan dalam perbaiki prestasi pasukan.

Beraksi di Liga Perdana pada tahun 2017, Terengganu perlu berikan lebih banyak ruang kepada pemain-pemain muda sebagai titik tolak kebangkitan skuad Penyu di kancah Liga Malaysia.

 

Advertisement

Must Watch Video