Skip to main content

Rencana

Transformasi bola sepak Selangor tuntut perubahan drastik

selangorfe387b083d81604aa734ff0000212b38.png
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pembaca laman Astro Arena.

Saya mendoakan agar semua pembaca dan peminat sukan tanahair sentiasa ceria dan sihat dalam kita menjalani kehidupan harian. 

Baru-baru ini, pasukan bola sepak Selangor telah mengalami sedikit ‘keributan' dalam meneruskan saingan mereka dalam Liga Super dan Piala Malaysia. 

Apa yang menarik di sini, keributan yang dialami ini mengakibatkan dua struktur organisasi yang berbeza. 

Perubahan ketua jurulatih pasukan Selangor adalah melibatkan struktur pengurusan berpandukan: ‘Pasukan bola sepak negeri adalah di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Pasukan’.

Ia sama-sekali melibatkan seluruh pengurusan pasukan yang diterajui oleh Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sendiri, iaitu Menteri Besar Selangor.

Walaupun pemecatan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan,  dilihat satu tindakan yang drastik, namun beberapa elemen dan kriteria penting perlu dilihat hasil daripada tindakan tersebut. 

Yang pertamanya, sasaran utama pasukan Selangor pada musim Liga Malaysia 2016 ini adalah untuk merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia. 

Tetapi apa yang terhasil kini jelas menunjukkan bahawa pasukan Selangor telah gagal untuk mencabar kejuaraan tersebut. 

Ini berdasarkan jumlah pungutan mata yang telah semakin jauh ditinggalkan oleh dua pesaing utama, iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda. 

Yang keduanya adalah berpunca daripada pasukan Selangor yang gagal mempersembahkan satu corak permainan yang mantap, tambahan lagi ia memperlihatkan satu corak permainan yang sama dari segi taktikalnya.
 
Ia amat mudah sekali dibaca oleh pasukan lawan dan meletakkan pasukan Selangor seolah-olah bukan sebuah pasukan jagoan yang sebenar. 

Alasan mempunyai ramai pemain yang mengalami kecederaan adalah satu alasan yang dangkal apabila pasukan Selangor dilihat mempunyai sebilangan pemain yang baik dan berpengalaman dalam pasukan. 

Kegagalan jurulatih dalam membentuk keserasian pemain serta mengoptimumkan kesemua keistimewaan pemain juga adalah merupakan satu lagi elemen kegagalan jurulatih dalam merencana kegemilangan pasukan Selangor. 

Tindakan pengunduran Setiausaha dan Bendahari FAS pula dilihat sebagai satu usaha transformasi pengurusan dalam menghadapi senario bola sepak moden yang kian berkembang. 

Adaptasi pelbagai kejayaan organisasi bola sepak lain di Malaysia ini memungkinkan pengunduran tersebut terjadi. 

Sudah pastinya individu-individu tersebut berasakan bahawa mereka sudah tidak relevan dan sesuai untuk duduk dalam sebuah pasukan yang penuh tradisi serta kegemilangan. 

Sudah tiba masanya sebuah pasukan seperti Selangor memerlukan individu-individu yang lebih muda serta mempunyai pelbagai idea dan perancangan dalam menyusun perancangan serta aktiviti yang lebih menjurus kepada kejayaan pasukan serta seluruh entitinya. 

Idea yang bernas serta baru sahajalah yang berupaya menarik minat segolongan besar peminat bola sepak Selangor untuk kembali yakin serta menyokong transformasi ini. 

Keupayaan untuk menjelmakan kejayaan dalam tempoh masa pendek dan panjang, harus menjadi agenda utama dalam persatuan mahupun pasukan bola sepak Selangor. 

Maka, dengan itu, apa yang diharapkan adalah sokongan pelbagai pihak, terutama penyokong fanatik Selangor, untuk menyokong dan mendukung pelan transformasi ini supaya ia berjalan lancar.

Tidak perlu sebarang usaha untuk menonjolkan siapakah yang menjadi hero dalam ‘keributan' yang melanda bola sepak Selangor. 

Apa yang penting adalah untuk terus menyokong apa jua perubahan yang berlaku demi menjana kejayaan pasukan dan seluruh perjalanan organisasi kerana tanpa penyokong ia tidak lebih hanya menjadi jasad yang tiada rohnya.
 

Advertisement

Must Watch Video