RENCANA
Tok Gajah pilihan ke pentas final
Aksi suku akhir kedua Piala FA musim ini menyaksikan beberapa keputusan mengejut dicatatkan.
Kejutan terbesar sudah pasti kemenangan 3-0 Pahang ke atas Johor Darul Takzim (JDT) di Larkin.
Kemenangan Pahang itu meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan di laman sendiri sejak November 2015.
Iklan
Siapa sangka, Pahang yang berdepan masalah kecergasan beberapa pemain tonggak mampu menumbangkan seteru utama mereka di laman lawan.
Namun ketika membuat liputan aksi JDT-Pahang di Larkin Jumaat lalu, penulis dapat melihat keinginan tinggi pemain Pahang untuk berjuang habis-habisan bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Lawan yang menanti Pahang di separuh akhir ialah PKNP FC yang menewaskan Felda United 2-1 pada suku akhir kedua untuk mara menerusi jaringan di tempat lawan, selepas kedua-dua pasukan terikat dua sama secara agregat.
Musim lalu, skuad kendalian Abu Bakar Fadzim ini ke suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia yang membuktikan mereka bukan lawan yang mampu dipandang mudah.
Shahrel Fikri Md Fauzi kekal ayam tambatan utama kelab Perak ini untuk melakar kejutan ke atas Pahang.
Satu lagi aksi separuh akhir bakal menemukan dua pasukan senegeri- PKNS FC dan Selangor.
Sudah pasti ia adalah pertembungan menarik, memandangkan pemain serta jurulatih kedua-dua pasukan saling berkait antara satu sama lain.
Pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal juga adalah bekas pengendali Selangor manakala pengendali Merah Kuning, Nazliazmi Mohd Nasir pula adalah bekas pemain PKNS FC.
Dalam kalangan pemain PKNS, Safee Sali, Mahali Jasuli dan P Gunalan juga adalah bekas pemain Selangor.
Jika berlandaskan aksi di Liga Super, PKNS ketika ini tampak lebih konsisten berbanding Selangor.
Namun jika berlandaskan rekod pencapaian Piala FA, Selangor lebih gah dengan lima kejuaraan diraih sebelum ini.
Sukar meramalkan pasukan mana yang mempunyai kelebihan antara PKNS dan Selangor, tetapi apa yang pasti ia menjanjikan pertembungan epik antara kedua-dua pasukan.
Must-Watch Video