Skip to main content

Rencana

TMJ pencetus revolusi minda bola sepak Malaysia

tunku-mahkota-johor.jpg
Pada era milenium dan dunia tanpa sempadan ini yang memerlukan seseorang itu bergerak pantas dan bijak supaya tidak tertinggal dalam memburu kejayaan, namun tidak buat segelintir masyarakat bola sepak Malaysia yang menganggap ini era gelap dan tidak dapat melihat peluang yang ada di depan.

Inilah yang berlaku dalam pengurusan bola sepak di negara kita, segelintir mereka ini yang berkhidmat di dalam pengurusan kelab tidak dapat melihat masa depan yang cerah apabila mereka bersikap sambil lewa sahaja dalam hal-hal pentadbiran. 

Ini jelas dapat dilihat apabila beberapa pasukan dalam Liga Malaysia tidak dapat menepati tarikh yang telah ditetapkan oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk menghantar semua dokumentasi kepada pengurusannya. 

Mentaliti tunggu dan lihat serta sikap acuh tidak acuh dalam melaksanakan tanggungjawab mengurus dan menepati masa di dalam merancang sesuatu tugas itu sudah menjadi virus dalam diri segelintir masyarakat bola sepak kita, sebaliknya mereka lupa bahawa bola sepak menuntut masa ditepati dan disiplin itu dituntut sekiranya ingin berjaya. 

Ini kerana bola sepak itu sendiri menekankan tiga perkara, iaitu pendidikan, psikologi dan bola sepak. 

Apakah mereka yang ada di dalam pengurusan terbabit faham akan peranan mereka dalam sukan bola sepak ini? Itulah yang menjadi tanda tanya dan persoalan di dalam minda penulis.

Benar kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bukunya "DOKTOR UMUM - Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad" yang menyatakan disiplin memainkan peranan penting dalam hidup kerana ia menyumbang kepada apa jua kejayaan yang ingin dicapai sekiranya orang kita ingin berjaya. 

Ini terbukti semasa kepemimpinan beliau, Dr. Mahathir berjaya membawa nama Malaysia ke mata dunia setelah menerap dan mempraktikkan disiplin tinggi di dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Begitu juga dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mempunyai latar belakang sebagai seorang tentera yang begitu menekankan disiplin dalam pengurusannya.

Dengan nilai disiplin yang tinggi itu, ia mampu merubah minda seseorang itu untuk terus mencari peluang bagi membina masa depan yang lebih cerah, apatah lagi dalam dunia bola sepak kini yang tiada sempadan dalam mencari penajaan. 

Sikap beginilah yang diinginkan presiden FAM kerana ia dapat membantu merevolusikan minda seseorang itu untuk mencipta kejayaan. 

Terima kasih kepada Tunku Ismail yang berjaya mencetuskan revolusi minda dalam bola sepak Malaysia.

 

Advertisement

Must Watch Video