Skip to main content

Advertisement

Rencana

Tiada ria, hanya sengsara dek Messi

messi-bartomeu-cover-pix.jpg
Pusingan U yang dibuat Lionel Messi untuk mengharungi setahun lagi di Barcelona sehingga kontraknya tamat 30 Jun tahun depan, harus satu kemenangan di pihak Josep Maria Bartomeu.

Presiden kelab Barcelona itu tetap tidak berganjak daripada pendiriannya untuk menghalang pemain berusia 33 tahun itu angkat kaki dari Camp Nou melainkan dia menebus kontraknya dengan jumlah sebesar €700 juta (RM3.4 bilion).

Diletakkan tanda harga itu yang akan menakutkan mana-mana kelab daripada menawarkan bidaan, Messi tiada pilihan melainkan tunduk kepada kekuasaan Bartomeu, yang berhasrat mengekalkan jawatannya bagi penggal kedua selama enam tahun dalam pemilihan presiden semula Mac depan.

Kalau pun ada kegembiraan dengan kejayaannya memaksa Messi kekal, ia hanya bersifat sementara, malah tidak pun lama dengan hanya berselang 24 jam.

Ia berkisar kepada pendedahan Messi dalam temu bual eksklusifnya dengan Goal.com kelmarin dengan mendakwa presiden kelab yang berusia 57 tahun itu, tidak amanah, tidak berpegang kepada janjinya.
 
Kecewa dengan cara dia diperlakukan, Messi memanfaatkan sepenuhnya ruang dalam temu bual itu dengan pendedahan Bartomeu tidak mempunyai apa-apa projek untuk membawa skuad Blaugrana itu ke tahap lebih tinggi.

Dan paling terkesan ialah tuduhan yang menggambarkan bos besarnya itu sebagai seorang pembohong dalam cara dia berjanji untuk membenarkan Messi meninggalkan kelab itu pada bila-bila masa yang diinginkannya, hanya untuk dia menafikannya apabila masanya tiba.



48 jam selepas kejayaannya menghalang pemergian pemain itu, baik Bartomeu mahupun hirarki tertinggi Barcelona, masih terus membisu daripada mengeluarkan sebarang kenyataan menangkis tuduhan-tuduhan Messi.

Sebagai rekod, seperti dirumuskan akhbar Marca, Messi tidak sunyi daripada mengkritik pengurusan kelabnya pada masa lalu tapi tidak pernah sejelas dan sekeras apa yang dihamburkannya terhadap Bartomeu kelmarin – satu pernyataan mengenai konflik terbukanya di antara kapten pasukan dan presiden kelab.

Dilaporkan juga Bartomeu dijadualkan memanggil semua pemain skuad Blaugrana itu untuk satu perbincangan bagi meraih persetujuan mereka terhadap pemotongan gaji dalam waktu terdekat ini gara-gara keadaan serba sukar dek pandemik COVID-19 yang menafikan jualan tiket untuk penonton hadir menyaksikan perlawanan.

Ia hanya akan menjadikan Bartomeu lebih tidak popular, selepas dilaporkan dia adalah ‘tangan tersembunyi’ yang mengupah pihak tertentu memburuk-burukkan sebilangan pemain, termasuk Messi, berikutan kegagalan Barca di peringkat domestik dan Eropah sepanjang musim 2019/20.

Saluran radio El Larguero di bawah kumpulan penyiar Cadena SER lebih awal tahun ini mendedahkan kelab Catalan itu telah mengupah sebuah syarikat untuk menggunakan Facebook dan Twitter bagi memburuk-burukkan pemain seperti Messi dan Gerard Pique yang dilihat menentang Bartomeu.

Didakwa Bartomeu yang meluluskan bayaran kepada pihak ketiga itu, 13 Ventures, enam kali ganda lebih tinggi daripada nilai pasarannya, dan kes itu sedang disiasat pihak berkuasa Sepanyol sambil Barcelona menafikan tuduhan itu Februari lalu.

Itu belum lagi siasatan rasuah oleh Polis Catalan ke atasnya atas dakwaan meraih keuntungan daripada pelbagai transaksi kelabnya, yang seperti dilaporkan El Mundo, dikenali sebagai ‘Barcagate’.

Apa pun kesahihan yang akan terserlah kesudahannya, semua perkara yang melingkari Bartomeu ketika ini – tidak terkecuali kejayaan mengekalkan Messi secara paksaan – tidak membawa banyak kelegaan.

Kredit foto: MARCA 

Advertisement

Must Watch Video