Skip to main content

Rencana

Tiada Mehmet dan Zainal... Gunalan pun berguna

111016gunalan.png
Andai tuah ayam nampak di kaki, tuah Selangor mungkin terlihat pada K. Gunalan.

Menelusuri cerita jatuh-bangun Selangor musim ini umpama menepati sebuah novel yang sarat dengan debaran, kejutan dan kesudahan yang tidak diduga.

Segala-galanya bermula dengan terlerainya ikatan dengan Mehmet Durakovic – bekas pemain era emas Selangor 1995-97 dan jurulatih yang kesudahannya membimbing skuad Merah-Kuning untuk menyempurnakan ‘Misi 33’ musim lalu.

Andai berada dalam pasukan lain, Mehmet harus sudah awal-awal lagi menurunkan cap jarinya untuk khidmat baktinya dilanjutkan... tapi bukan Selangor.

Menepati elemen sukar diramalkan, rundingan secara sulit sudah pun diadakan dengan jurulatih Pahang ketika itu, Zainal Abidin Hassan, untuk ditawarkan kerusi panas jurulatih ketika Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) harus tidak pun meyakini Mehmet mampu menghadirkan Piala Malaysia.

Apabila musim berpenghujung, khidmat Mehmet turut ternoktah tanpa FAS mampu menawarkan sebarang alasan yang dapat diterima akal melainkan kepercayaan bahawa persetujuan Zainal sudah pun diperoleh sebelum Mehmet mengemudi pasukannya ke final Piala Malaysia musim lalu lagi.

Harus tidak silap untuk Mehmet memendam rasa – yang hanya dikongsi dengan kenalan rapatnya – bahawa dirinya dipermainkan. Begitupun, sebagai seorang profesional, dia terpaksa menerimanya meskipun bukan dengan berlapang dada.

Namun, Zainal juga tidak boleh hendak dipersalahkan. Segar daripada reputasi cemerlang selaku jurulatih yang mengemudi Pahang menundukkan JDT dalam final 2014 – beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh lebih sejam sebelum akhirnya unggul menerusi penentuan sepakan penalti – tidak hairanlah dia menjadi buruan.

Namun, berbeza dengan perancangan dan jangkaan FAS, jodoh Selangor dengan Zainal juga tidak berkekalan, sebaliknya cuma bertahan enam bulan.

Harus bukan rezekinya kerana empat kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan, yang disudahi dengan tewas 0-1 kepada Kedah pada 6 Ogos 2016, menyaksikan Zainal dipecat tanpa sebarang peluang pembelaan.

Barangkali tanpa dibayangkannya sendiri sebelumnya, K. Gunalan, yang dari awal musim berperanan pembantu kepada Zainal, ditampilkan sebagai ‘penyelamat’ yang lebih bermirip kepada bidan terjun.

Harus kepada FAS, andai gagal meraih sebarang trofi musim ini pun, mereka tidak perlu tercari-cari alasan kerana jikalau Zainal yang lebih berpengalaman pun gagal, penyokong harus lebih memaafkan kerana Gunalan masih terlalu cetek pengetahuan.

Ia tidak mudah baginya, apatah lagi pasukan yang diwarisinya sudah berpecah-belah dengan wujud kem tertentu – turut terkait ialah pemain-pemain yang menyusuli Zainal dari Pahang, Khairul Azhan Khalid, Razman Roslan, Hafiz Kamal dan R. Gopinathan – yang bersimpati dengan nasib yang menimpa jurulatih itu.

Pergaduhan Ugochukwu Ukah dan Bunyamin Umar yang sehingga berjahit dahi, di bawah pengendalian Gunalan pada penghujung perlawanan di Sarawak yang berkesudahan 1-1 pada 24 Ogos 2016, mencadangkan masih tiada keharmonian dalam pasukan.

Tapi tidak semuanya bergelora kerana pemain seperti Patrick Ronaldinho Wleh yang dikatakan mendapat layanan dingin di bawah jurulatih sebelumnya, seakan-akan mendapat angin kedua hasil bual-bicara Gunalan.

Demikian juga dengan pemain Selangor selebihnya yang seolah-olah mendapat nafas baru di bawah teraju yang berbeza.

Di sebalik Selangor terumbang-ambing di peringkat awal kempen Piala Malaysia, mereka memuncak tepat pada masanya untuk sebilangan pegawai kanan FAS mendabik dada bahawa mereka melakukan keputusan tepat dengan pemecatan Zainal dan menyandarkan nasib kepada Gunalan.

Seri 1-1 dengan T-Team dalam perlawanan peringkat pertama separuh akhir di Stadium Shah Alam, Selangor bangkit menunjukkan kejaguhan dengan membelasah lawan 4-0 dalam aksi timbal balik.

Siapa sangka Gunalan -- yang pernah dipecat Selangor sebagai pemain pada 1998 -- benar-benar tampil sebagai “penyelamat” dengan Piala Malaysia cuma berbaki satu perlawanan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Dengan Misi 33 – selepas penantian 10 tahun sejak 2005 -- tercapai sudah tahun lalu, harus barisan kepemimpinan FAS sendiri tidak terlintas akan menyusul Misi 34 dengan sebegitu cepat.

Tapi dengan tuah Gunalan selaku peneraju, Selangor berkemungkinan menempa kejayaan…yang tidak disangka-sangka.

Advertisement

Must Watch Video