Skip to main content

Rencana

Tiada lagi acara PPV eksklusif Raw dan Smackdown?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wwe-150218-1.jpg
Acara bulanan pay-per-view (PPV) dilaporkan mungkin akan kembali ke format asal dengan menampilkan kedua-dua bintang dari jenama Raw dan Smackdown Live, di mana tiada lagi PPV eksklusif untuk kedua jenama seperti yang dilaksanakan waktu ini.
 
Beberapa sumber menyebut yang acara PPV pertama selepas Wrestlemania 34, iaitu WWE Backlash yang bakal bersiaran pada 7 Mei 2018 depan akan menjadi PPV pertama menampilkan gabungan Raw dan Smackdown Live dan format ini akan terus digunapakai untuk acara PPV lain akan datang.
 

 
Sejak pemecahan jenama Raw dan Smackdown Live berlaku pada Ogos 2016, hanya empat PPV utama tahunan yang menampilkan gabungan ini iaitu Royal Rumble, Wrestlemania, Summerslam dan Survivor Series. Untuk PPV lain, ia dikelolakan secara bergilir bagi memberi nilai eksklusif kepada kedua-dua jenama utama WWE tersebut.
 
Walaupun perkara ini belum diumumkan secara rasmi oleh pihak WWE sendiri, namun beberapa peminat telah melaporkan yang pengendali tiket untuk acara WWE, Ticketmaster telah memaklumkan para pelanggan mereka melalui emel dengan menulis:
 
"Attention ticket holder!
This is just a friendly reminder about your event..
WWE Presents Backlash Prudential Center Sunday, May 6th at 7:30PM
This will now be a combined Pay Per View with RAW and SMACKDOWN Superstars."
 
Penganalisis gusti veteran, Dave Meltzer dari Pro Wrestling Illustrated turut mengulas tentang laporan ini dan beliau juga tidak menafikan perkara ini. Ujarnya, pihak WWE akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.
 
Tambah Meltzer lagi, antara sebab mengapa WWE kembali semula ke format asal PPV ini adalah kerana beberapa faktor:
  1. Beberapa rekod jualan tiket untuk acara PPV tunggal Raw atau Smackdown tidak mencatatkan jualan tiket yang diharapkan. Dengan meletakkan bintang-bintang utama dari kedua jenama dalam satu acara, ia dilihat mampu melonjakkan jualan tiket dan menarik lebih ramai peminat ke acara tersebut.
  2. Apabila WWE mengurangkan jumlah PPV seperti tahun lalu, ia menyebabkan beberapa jalan cerita menjadi meleret daripada yang sepatutnya. Ini berpunca daripada penyelesaian sengketa yang dijadual untuk diselesaikan di acara PPV terpaksa menunggu giliran lebih lama bagi memberi laluan kepada PPV jenama pesaing bersiaran terlebih dahulu. Adakala, sebuah sengketa mudah terpaksa mengambil masa sehingga dua bulan dan ini sekaligus menyukarkan aturan untuk siaran mingguan televisyen.
  3. Jumlah bintang untuk ditampilkan di setiap acara juga dapat diminimakan. Dengan gabungan ini, hanya bintang dan sengketa utama saja perlu ditampilkan dan tidak perlu membawa masuk segala bintang lain untuk menjadi ‘nasi tambah’ dalam setiap acara.
 
Seiring dengan perubahan ini, acara PPV juga dijangka akan mengalami perubahan di mana setiap acara mungkin akan bersiaran selama empat jam sepertimana empat PPV utama. Jumlah perlawanan juga mungkin akan mengalami penambahan kepada lapan perlawanan berbanding hanya enam atau tujuh sebelum ini dengan setiap jenama akan menyajikan empat perlawanan.

Jika perubahan ini benar-benar menjadi realiti, ia seakan membawa kita kembali ke tahun 2007. Ironinya, acara Backlash pada tahun tersebut juga menyaksikan gabungan kedua-dua jenama dalam satu PPV sejak Raw dan Smackdown masing-masing mengendalikan PPV khas mereka sejak tahun 2003.

Untuk jenama Raw, John Cena telah menewaskan Edge, Randy Orton dan Shawn Michaels bagi Kejuaraan WWE. Manakala untuk Smackdown, perlawanan antara Batista dan Undertaker bagi perebutan Kejuaraan Heavyweight Dunia berakhir seri tanpa pemenang.
 


Sebab mengapa gabungan ini berlaku adalah lebih kurang sama seperti yang dinyatakan di atas. Jualan tiket yang kurang memberansangkan, termasuk jumlah langganan TV bayar dan tonton yang tidak mencapai sasaran yang diinginkan.

Namun demikian, perubahan ini dilihat tidak akan mengubah format pemecahan jenama sedia ada di mana siaran TV Raw dan Smackdown akan kekal dibahagikan kepada dua. Malah, rombakan draf untuk para bintang dari kedua jenama juga turut diberitakan akan mengambil tempat di acara WWE Backlash kelak.

Walau apa perubahan sekalipun, diharap langkah ini tidak akan menutup peluang untuk beberapa bintang undercard untuk terus menyinar. Kita khuatir, langkah ini akan hanya memberi fokus kepada bintang-bintang utama saban acara, dan bintang-bintang lain hanya berputih mata menonton dari belakang tabir. Peluang saksama harus diberikan agar variasi bintang dan perlawanan akan terus dapat dinikmati oleh WWE Universe.

Yang penting, kita sebagai peminat dapat menyaksikan acara PPV yang menarik setiap bulan, dan langganan bulanan WWE Network akan menjadi semakin berbaloi dengan pelbagai pengisian yang lebih mantap.

(Foto: WWE.com)
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Elimination Chamber dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video