Kumpulan penyokong tegar bola sepak negara, Ultras Malaya, dalam satu hantaran sebentar tadi memuat naik kenyataan rasmi berkenaan tiga tuntutan yang telah dikongsi pada 13 April lalu.
Berdasarkan kemas kini, komuniti tersebut tetap berpegang teguh dengan tiga tuntutan agar dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
Advertisement
1. Tarik semula kerakyatan tujuh pemain
Ketika ini, kesemua tujuh pemain terbabit dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akibat skandal pemalsuan dokumen.
2. Kembalikan pengurusan Harimau Malaya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
3. Reformasi bola sepak Malaysia.
Sehubungan itu, Ultras Malaya menerusi perkongsian di Facebook melancarkan Boikot Fasa 1 melibatkan perlawanan Harimau Malaya berkuat kuasa serta merta sehingga 31 Ogos.
Dalam masa sama, mereka juga mengeluarkan amaran sekiranya ia tidak dipenuhi, maka Boikot Fasa 2 akan dilancarkan dengan lebih menyeluruh melibatkan keseluruhan ekosistem Liga Malaysia (Liga-M).