Kelab Liga A1 Semi-Pro menyambut baik cadangan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menawarkan langkah progresif sewaktu hadir ke sidang meja bulat melibatkan badan penganjur Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama wakil pasukan Liga Super Khamis lalu.
Satu pandangan mencuri tumpuan apabila Kelantan Red Warrior juga bersetuju dengan saranan Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkenaan pelaksanaan model bayar untuk tontonan (pay-per-view) sebagai salah satu solusi menjana pendapatan buat seluruh kelab.
Advertisement
Penubuhan platform digital itu difahamkan boleh meningkatkan aliran kewangan kelab dengan menayangkan perlawanan siaran langsung melibatkan pasukan masing-masing.
"Bagi kami, cadangan pemilik JDT itu cukup menarik dan perlu diteliti oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sekali gus dibincangkan dengan lebih serius bersama pemegang taruh yang lain.
"Ini kerana, pihak KRW sebenarnya telah melaksanakan model tontonan berbayar lebih awal dimana terbukti pendapatan yang diperoleh dapat menampung sebahagian kos operasi kelab setelah mendapat sokongan berterusan daripada penyokong setia Wira Merah," katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Dalam masa sama, pasukan amatur itu menyokong inisiatif tersebut dengan membentangkan data khas apabila purata sekurang-kurangnya 1000 penyokong melanggan akses tersebut pada setiap aksi.
"Jelas ia menjadi satu pelan yang dapat menjana pendapatan stabil kepada kelab, malah mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dengan lebih lanjut oleh MFL berdasarkan kertas kerja yang diberikan oleh Tunku Ismail.
"Secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan hubungan lebih rapat antara kelab dan penyokong selaras dengan hasrat “mengembalikan bola sepak kepada rakyat”.
"Sehubungan itu, KRW bersedia untuk bersama Tunku Ismail dan MFL bagi memperkukuh cadangan ini sebagai sebahagian daripada persediaan utama kelab untuk bersaing di peringkat lebih tinggi termasuk bwraksi di Liga Super pada masa hadapan," katanya.