Skip to main content

Bola Sepak

'Saya banyak berdoa, harap anak saya tak main bola sepak'

Endrick

Endrick Felipe de Sousa berasa tertekan untuk dengan masa depannya apabila dibelenggu persoalan mampukah dirinya menyertai skuad Brazil menghadapi Piala Dunia 2026 bulan depan.

Selepas permulaan kurang bernasib baik di Real Madrid, pemain berusia 19 tahun itu dipinjamkan ke Lyon untuk menemui semula prestasi terbaiknya, namun ia mengganggu emosi dan mental dirinya menjelang kejohanan paling berprestij itu.

Advertisement

Dengan peluang terhad bersama Los Blancos, Endrick telah bermain 18 perlawanan di Perancis, menjaringkan tujuh gol dan memberikan tujuh bantuan gol.

Prestasinya menarik perhatian ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, tetapi dia berkata Endrick adalah pemain untuk masa depan, bukan untuk masa kini.

Kenyataan itu sekali gus digambarkan sebagai berakhirnya harapan penyerang itu untuk bermain dalam Piala Dunia oleh beberapa pihak media

“Ia adalah malam yang penuh keraguan.

"Saya tahu ia mungkin peluang terakhir saya.

“Saya banyak berdoa. Saya tahu hari itu boleh menjadi titik perubahan bagi saya.

"Saya bermain dengan baik, malah salah satu persembahan terbaik saya," katanya selepas membantu Brazil menewaskan Croatia bulan lalu.

Endrick adalah sebahagian daripada generasi pemain Brazil yang memikul beban besar apabila tidak memenangi Piala Dunia selama 24 tahun.

“Saya tidak lagi memberi perhatian kepada apa yang orang lain katakan.

"Apabila anda membuang semua itu daripada hidup anda, keadaan menjadi lebih mudah," katanya lagi.

Dalam masa sama, dia juga berharap untuk menjadi seorang bapa yang baik.

Isterinya, Gabriely, bakal melahirkan anak pada hujung tahun ini.

Pasangan itu belum mengetahui jantina bayi itu, tetapi pemain itu tidak mahu anaknya mengikuti jejak langkahnya dalam bola sepak "supaya dia dapat menjalani kehidupan yang damai".

"Saya harap dia menjadi orang yang hebat, seorang manusia yang hebat.

"Dan, dia melihat saya di luar padang sebagai orang biasa, bukan sebagai Endrick si pemain bola sepak.

"Bola sepak bukanlah tempat yang menyenangkan. Ia adalah persekitaran yang sangat sukar.

"Saya harap dia menjadi seorang peguam, doktor atau apa sahaja, dan boleh bahagia di dunianya sendiri."
 

Must Watch Video