Skip to main content

Rencana

Tiada ihsan buat pengurus dalam EPL

ranierishakespear.jpg
Pemilik Leicester City dari sebuah keluarga ahli perniagaan kaya-raya Thailand nampaknya mempunyai tabiat memecat pengurus kelab jika keputusan-keputusan tidak menepati kehendak mereka.

Kesabaran dan kepercayaan bukanlah dua kekuatan keluarga Srivaddhanaprabha – Vichai dan anak lelakinya, Aiyawatt -- yang memiliki King Power Duty Free, jutawan ketiga terkaya di Thailand.

Hanya pada Februari lalu, dua beranak itu memecat Claudio Ranieri selaku pengurus Leicester cuma sembilan bulan selepas mengemudi kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris buat julung-julung kalinya.

Pada waktu itu, The Foxes cuma berada satu mata di atas zon relegasi dengan saingan liga berbaki 13 perlawanan.

Ranieri, 65, mengemudi Foxes menggapai kejuaraan di sebalik mereka diletakkan pada kebarangkalian 5,000-1 pada permulaan kempen musim lalu.

Pemecatannya berlaku 24 jam selepas kekalahan 1-2 kepada kelab LaLiga, Sevilla, dalam perlawanan pertama peringkat 16 Liga Juara-Juara.

Pada musim Leicester mempertahankan kejuaraan, mereka hanya menang lima perlawanan liga dan berkemungkinan menjadi pasukan juara bertahan pertama yang ditturunkan divisyen sejak 1938.

Lantas, Ranieri dipecat tanpa belas ihsan dan penolongnya, Craig Shakespeare, dinaikkan pangkat.

Dengan sedikit tuah yang dimiliki Shakespeare, 53, Leicester terselamat dengan menduduki tangga ke-12 pada akhir musim lalu.

Tapi jodohnya dengan The Foxes juga tidak lama – dia dipecat selepas hanya empat bulan bergelar pengurus sepenuhnya di sebalik keluarga Srivaddhanaprabha pada pertengahan musim lalu berasa amat terhutang budi dengannya.

Memang, pada musim ini, Leicester ternyata berhempas-pulas. Kelab itu terperosok di tangga ketiga terbawah liga dan tidak memenangi mana-mana daripada enam perlawanan terakhirnya.

Shakespeare hilang jawatannya selepas keputusan seri 1-1 dengan West Brom di Stadium King Power, Isnin lalu, dan sebagaimana sebelumnya, penolongnya, Michael Appleton, 41, dinaikkan pangkat.

Seperti yang harus disedari Shakespeare kini dan harus bodoh buat Appleton untuk tidak mengendahkannya, tiada sentimen dan rasa simpati terhadap mana-mana pengurus dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Anda hanya dihargai selagi anda berjaya dan dan akan diusir apabila tiba masanya.

Ia bukan pun salah keluarga Srivaddhanaprabha dan kekayaan mereka kerana sesiapa pun di tempat mereka akan melakukan perkara yang sama kerana tiada langsung ruang buat kegagalan.

Lagipun, pemecatan pengurus adalah sebahagian asam garam EPL sejak sekian lama – disanjung ketika pasukan mengecap kejayaan dan yang pertama dipersalahkan tatkala pasukan dilihat terumbang-ambing dan tiada jalan keluar.

Malah, buat sesetengah pengurus, pemecatan seakan-akan satu bonus awal, apatah lagi jika ia berlaku ketika kontrak masih berbaki panjang.

Bersambung: Sumpahan buat pengurus EPL

Advertisement

Must Watch Video