Skip to main content

Rencana

“Thumbs up” dalam utamakan kepentingan negara

090217-liga-hoki-dunia-2.jpg
Frank Bernhardt harus hanya mampu mengurut dada jika terbaca kelab-kelab dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) memberi keutamaan kepada skuad negara.

Berbanding kesukaran jurulatih skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara itu mendapatkan pelepasan pemain daripada pasukan negeri dan kelab, rakan sejawatannya bersama The Malaysian Hockey Tigers, Stephen Van Huizen, ternyata lebih bertuah.

Mesyuarat tergempar telah diadakan di antara Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan semua pengurusan pasukan dalam TNB Liga Perdana Hoki pada 6 Januari lalu  berkaitan dengan pertukaran venue Liga Hoki Dunia 2 gara-gara Kanada menarik diri daripada Liga Hoki Dunia 2 di Bangladesh.

Pasukan negara dijadualkan menyertai Liga Hoki Dunia 2 di Trinidad & Tobago dari 25 Mac hingga 2 April. Di sana, pasukan lain adalah Chile, Amerika Syarikat, Russia, Jepun, Switzerland, Barbados dan Trinidad & Tobago.

Oleh kerana penarikan diri pasukan Kanada untuk ke Bangladesh, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) telah menawarkan kepada Malaysia untuk menjadi pengganti. 

Di Bangladesh dari 4-12 Mac, pasukan lain adalah China, Mesir, Fiji, Sri Lanka, Oman, Ghana dan tuan rumah.

Setelah mengambil kira pelbagai aspek, termasuk pasukan-pasukan yang akan berada di Dhaka, perjalanan yang lebih singkat berbanding 30 jam jika ingin ke Trinidad & Tobago serta soal kos, KHM bersetuju untuk menggantikan Kanada.

Pendapat peribadi saya, KHM telah membuat keputusan yang tepat dalam menerima jemputan FIH ini.

Hanya satu aspek yang mungkin sedikit menggusarkan pengurusan pasukan negara, iaitu masa yang lebih singkat membuat persiapan berbanding jika kita ke T&T. 

Ini kerana ketika ini TNB Liga Hoki Malaysia sedang rancak berlangsung sehingga 26 Februari.

Mesyuarat tergempar ini adalah untuk membincangkan bagaimana perubahan tarikh penyertaan pasukan negara di Bangladesh mendapat persetujuan dan kerjasama pasukan-pasukan untuk memastikan pemain-pemain dapat menjalani latihan bersama pasukan negara ketika liga sedang berlangsung.

Saya tabik pengurusan pasukan-pasukan kelab di mana mereka sebulat suara bersetuju untuk memberi pelepasan pada setiap Isnin untuk pemain menyertai latihan pasukan negara walaupun jadual perlawanan yang padat dan ketika ini di penghujung peringkat liga yang begitu genting dalam masing-masing mengejar kejuaraan liga.

Semangat mengutamakan kepentingan negara yang diterjemahkan oleh mereka buat pasukan negara dapat membuat persiapan yang rapi dan bersedia mencabar dalam saingan di Bangladesh nanti, seterusnya layak ke Liga Hoki Dunia 3 yang akan berlangsung di Johannesburg dan Brussels.

Jelas, keinginan melihat pasukan negara layak ke Piala Dunia 2018 menjadi keutamaan semua.

Kalaulah kerjasama dalam mengutamakan kepentingan negara boleh dilakukan oleh kelab-kelab bola sepak yang mana tidak melepaskan pemain pemain mereka untuk persiapan bagi skuad Frank Bernhardt, sudah pasti pasukan B-22 akan lebih mantap untuk menggegar dalam Sukan Sea Kuala Lumpur nanti.

Ini yang terjadi ketika ini apabila ada pasukan yang tidak melepaskan pemain-pemain mereka buat pasukan B-22 negara dalam siri perlawanan perlawanan persahabatan, mengakibatkan mereka tewas 0 - 3 kepada skuad B-22 Vietnam.

Tahniah sekali lagi kepada kelab-kelab hoki Liga Perdana dan selamat maju jaya kepada Van Huizen dan anak-anak buahnya di Bangladesh, seterusnya berjaya dalam merealisasikan misi negara ke Piala Dunia 2018.
 

Advertisement

Must Watch Video