Skip to main content

Rencana

THT "Pasukan Yang Perlu Ditewaskan"

100117tht17e0b90a3d81604aa734ff0000212b38.jpg
Tahun kedua Piala Tan Sri P. Alagendra (PTSPA) 2017 telah berakhir semalam yang menemukan dua finalis baru, Terengganu Hockey Team (THT) dan Maybank.

Juara edisi pertama PTSPA 2016, Kelab Hoki Sapura, memutuskan untuk tidak menyertai PTSPA dan TNB Liga Hoki Malaysia (LHM) tahun ini.

Di peringkat separuh akhir, THT membelasah antara pasukan pilihan, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 7-2 manakala Maybank juga membelasah kelab Divisyen 1, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) 5-1. 

THT menewaskan Maybank 5-3 untuk melengkapkan tujuh trofi, termasuk juara berganda LHM tiga musim berturut turut pada 2014, 2015 dan 2016.

Sekali lagi pemain import dari Korea Selatan, Jang Jung-Hyun, menjadi wira THT apabila meledak hatrik untuk THT. Hatrik ini adalah yang ketiga daripadanya dalam empat perlawanan untuk THT bagi merebut PTSPA.

Tahniah buat THT! 

Perjalanan buat semua pasukan untuk PTSPA 2017 dibuat menerusi undian. Sebanyak 16 pasukan terlibat, iaitu lapan pasukan Liga Perdana dan lapan pasukan dari Liga Divisyen 1.

Maybank agak bernasib baik setelah menewaskan UniKL di peringkat suku akhir. Mereka diundi bertemu MPPJ yang dibarisi oleh pemain-pemain Liga Hoki Remaja Malaysia. THT pula terpaksa bertemu KLHC, salah satu pasukan mantap dalam kejohanan ini.

Sememangnya format PTSPA adalah menerusi undian yang dibuat bagi setiap pusingan. Boleh dikatakan apabila pasukan Liga Perdana diundi bertemu dengan pasukan Liga Divisyen 1, semua pasti dapat mengagak siapa pemenangnya. 
Tuah undian juga begitu penting menentukan peluang pasukan-pasukan untuk pergi jauh dalam pertandingan. Ada beberapa pasukan yang melangkah jauh disebabkan tuah undian.

Tetapi secara keseluruhan, THT sememangnya  juara mutlak Piala Tan Sri Alagendra 2017 ini. Mereka bertemu semua pasukan Liga Perdana dari pusingan pertama sehingga menewaskan Maybank dalam final.

Mereka memberikan gambaran bahawa THT telah bersedia untuk mempertahankan gelaran juara berganda TNB Liga Hoki Malaysia 2017 buat kali keempat berturut-turut yang akan bermula pada 13 Januari sehingga 26 Mac depan.

Dengan mengekalkan semua pemain tonggak musim 2016 seperti Azlan Misron, Shahrun Nabil, Tengku Ahmad Tajuddin, Faizal Saari, Fitri Saari, Pablo Javier, Jang Jung Hyun , Muhammad Irfan serta diperkuatkan dengan kehadiran Firhan Ashaari dari Sapura dan pemain import bertaraf lima bintang dari Belanda, Valentin Varga, ia sudah cukup meletakkan mereka di tahap yang berbeza.

Walaupun pasukan-pasukan lain seperti UniKL, KLHC, Tenaga Nasional Berhad dan Maybank  memperkuatkan pasukan mereka dengan barisan pemain tempatan dan import, THT tetap kekal dengan status mereka sebagai "pasukan yang perlu ditewaskan" dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2017 ini.
 

Advertisement

Must Watch Video