Skip to main content

Advertisement

Rencana

Teruskan berjuang Chong Wei

lee-chong-wei-260418.jpg
Pemerhati sukan tempatan minggu ini dikejutkan dengan pengumuman Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai penarikan diri perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, daripada saingan Kejohanan Dunia di Nanjing yang bermula pada 30 Julai ini serta juga temasya Sukan Asia Indonesia bulan depan.

BAM tidak memberi butiran jelas mengenai tahap kesihatan Chong Wei, selain mengatakan pemain itu mengalami masalah pernafasan dan perlu rehat daripada segala latihan dan pertandingan selama tempoh sebulan.

Perkembangan ini jelas mengejutkan peminat, pemerhati sukan tempatan dan antarabangsa yang pasti ingin tahu apakah tahap kesihatan sebenar Chong Wei.

Meskipun kebelakangan ini penulis hanya sekali-sekala membuat liputan tentang Chong Wei, namun dia adalah antara atlit senior yang paling kerap penulis membuat liputan sepanjang 15 tahun bergelar wartawan sukan.

Bagi penulis, Chong Wei adalah seorang pejuang, tidak pernah kenal erti kekalahan dan sentiasa mempunyai keazaman untuk membawa tahap permainannya ke aras yang lebih tinggi.

Penulis masih ingat ketika saingan Piala Thomas 2004 di Jakarta, Chong Wei melakukan penampilan sulungnya di kejohanan berprestij itu.

Meskipun gagal membantu skuad negara meraih kejuaraan ketika itu, Chong Wei sudah mula menjelmakan kematangannya beraksi di peringkat tertinggi.

Pada 2004 juga, dia meraih kejuaraan Terbuka Malaysia dan Taiwan untuk mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Athens dan selepas itu prestasinya terus meningkat naik di bawah kendalian Datuk Misbun Sidek.

Penulis hanya dapat doakan yang terbaik buat Chong Wei ketika ini dan sudah pasti jika boleh mahu menyaksikannya kembali beraksi di atas gelanggang.

Mungkin juga ketika ini, Chong Wei memerlukan sedikit tempoh bersama keluarganya dan penulis turut mendoakan yang terbaik buat kesihatannya seperti jutaan rakyat Malaysia yang lain.

Apa yang pasti, Lee chong Wei yang penulis kenali adalah seorang pejuang yang tidak kenal erti kekalahan.

Advertisement

Must Watch Video