Skip to main content

Rencana

Terowong angin UIAM & UTM

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bazlywindtunnel.jpg
Saya menerima beberapa pertikaian sejak melaporkan mengenai perancangan Institut Sukan Negara (ISN) serta Kementerian Belia dan Sukan membeli terowong angin dianggarkan bernilai RM30 juta.

Terowong angin itu akan digunakan terhadap beberapa sukan yang memiliki ciri aerodinamik seperti basikal, kapal layar, luncur ais dan permotoran.

Namun, misi utamanya ialah bantu persiapan atlit raih pingat emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ada yang berpendapat nilai itu terlalu mahal untuk sebutir emas kerana lebih baik dana itu disalurkan kepada bidang lain terutamanya membina kemudahan rakyat Malaysia.

Saya kemudian mencari pelan B.

Beberapa pensyarah di Universiti Malaya mencadangkan tinjauan terhadap dua terowong angin terbaik di Malaysia, satu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor dan satu lagi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

Jadi, saya ke UIAM untuk meninjau dan menguji sendiri terowong angin itu.

Namanya, Low Speed Wind Tunnel IIAM.

"Kelajuan maksimum angin terowong ini ialah 50m/s (atau 180km/j). Ia sesuai untuk menguji pelumba basikal. Masalahnya saiz terowong ini kecil kerana ketinggiannya cuma 150cm.

"Agak sukar untuk memuatkan pelumba dan basikalnya secara serentak. Tapi jika diubahsuai, mungkin ia boleh dilakukan," kata pemangku dekan Kuliyyah Kejuruteraan UIAM, Prof Erry Yulian T Adesta.

Jika ia bukan dibina untuk menguji tahap aerodinamik pelumba basikal, bagaimana dengan ketepatan data?

"Kami perlu berbincang dengan Institut Sukan Negara kerana Malaysia belum memiliki kepakaran mengenai perkara ini. Teknologi sukan masih baru kerana sebelum ini kita lebih mementingkan sains sukan.

"Tapi, ia bukan mustahil. Saya harap kerjasama ini dapat dilakukan," kata Profesor Kuliyyah Kejuruteraan UIAM, Dr Waqar Asrar.

Difahamkan, terowong angin UTM lebih maju dengan kelajuan angin 80m/s dan lebih besar. Malah, Proton juga menggunakan kemudahan di sana untuk menguji kenderaan mereka.

Apa yang mahu saya tekankan, jika dapat bekerjasama apa salahnya.

Mungkin ia dapat menjimatkan kos. Namun, terpulang kepada ISN dan Kementerian Belia dan Sukan adakah terowong angin di UIAM/ UTM memiliki ciri-ciri yang mereka mahukan.

Mungkin, langkah pertama ialah meninjau sendiri terowong angin di kedua-dua universiti terbabit dan mungkin sekurang-kurangnya satu kerjasama dapat dimeterai. 

Lagipun, bidang teknologi sukan masih baru di Malaysia. Mungkin langkah ini dapat menyumbang satu atau dua peratus terhadap misi emas sulung Olimpik Tokyo 2020.

Advertisement

Must Watch Video