RENCANA

Terima kasih Zorro Malaysia

Stadium Astro
Bazly Azmi
07/02/2017
23:38 MYT
Sponsor Banner
Terima kasih Zorro Malaysia
Nama Yu Peng Kean tidaklah gah seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Pandelela Rinong atau Azizulhasni Awang.
Belum pernah memenangi pingat Sukan Olimpik atau Kejohanan Dunia, namun dia pejuang sukan lawan pedang di Malaysia.
Mula mewakili negara pada 2004 ketika menuntut di Sukan Sukan Bandar Penawar, Johor, Peng Kean kemudian dibentuk sebagai atlet lawan pedang acara sabre terbaik negara.
Peng Kean mula menawan kejohanan peringkat antarabangsa dengan langkah pertama pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean 2005 di Singapura ketika berusia 14 tahun.
080217 Yu Peng Kean 1
"Saya menentang atlet tuan rumah pada final. Dia berusia 15 tahun yang lebih besar dan tinggi. Saya gementar kerana ia pengalaman pertama beraksi di peringkat antarabangsa dan berjaya ke final.
"Namun, jurulatih sentiasa berada di tepi gelanggang dan membimbing saya hingga berjaya muncul juara. Kejayaan itu permulaan terhadap pengembaraan hebat selama 13 tahun mewakili Malaysia," kata Peng Kean.
Ada dua kenangan yang tidak dapat saya lupakan bersama Peng Kean.
Pertama ketika Sukan SEA Indonesia 2011.
Ketika itu, venue acara lawan pedang jauh daripada pusat bandar Jakarta, kira-kira dua jam perjalanan menaiki kereta. Saya membuat liputan bersama krew Astro Arena sedang sibuk dengan acara memanah.
Tiba-tiba saya menerima panggilan daripada Peng Kean, memaklumkan dia akan beraksi di final dalam tempoh 30 minit.
Kelam-kabut kami menyusun semula pergerakan liputan dan saya ditugaskan ke venue lawan pedang. Setiba di sana, acara sudah berakhir dan saya dapat meramalkan bahawa Malaysia raih emas apabila Peng Kean dan rakan-rakan tidak henti bersorak.
Ia emas pertama skuad lawan pedang Malaysia sejak 1989.
Kedua, pada Sukan Olimpik London 2012.
Peng Kean atlet lawan pedang pertama negara layak ke Sukan Olimpik secara merit.
Saya ditugaskan mencari Peng Kean dengan masalah utama, saya tidak dibenarkan memasuki venue pertandingan kerana masalah kad akreditasi.
Kami berhubung menerusi telefon bersama jurulatih negara, Rao Bin.
Selepas tamat acara, saya cuba mencari Peng Kean dan jurulatihnya namun gagal kerana venue yang besar selain atlet tidak dibenarkan keluar dari zon Olimpik.
Selepas dua jam, saya berputus asa dan bercadang untuk pulang ke Pusat Media Antarabangsa namun pada saat akhir, nampak kelibat Peng Kean berjalan kaki ke arah saya sambil tersenyum.
"Saya sudah tertinggal bas tapi saya sudah janji untuk jumpa abang. Saya mesti datang," katanya.
Dalam hati saya, terdetik bahawa ini atlet yang baik dan tidak mudah putus asa.
Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu ketika beraksi Olimpik London, dia mengalami kecederaan lutut.
Lututnya terpaksa dibedah sebanyak dua kali dan akhirnya, jadi penghalang Peng Kean untuk meneruskan pengembaraan ini.
"Saya mahu beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Saya harap ia jadi penampilan terakhir sebelum bersara. Tapi apabila saya berlatih, lutut sangat sakit.
"Saya sudah mengambil ubat penahan sakit namun masih gagal. Jadi selepas berbincang dengan keluarga dan berfikir sedalam-dalamnya, saya ambil keputusan bersara," kata atlet kelahiran Melaka itu.
Walaupun terpaksa meninggalkan skuad kebangsaan, namun Peng Kean tetap tersenyum ketika ditemubual. Saya harap dia dapat menempuh satu lagi pengalaman baru sebagai jurulatih kelab lawan pedang di Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Seorang atlet yang baik dan dedikasi namun sayangnya, tewas kepada kecederaan. Terima kasih Peng Kean, terima kasih Zorro Malaysia!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video