Skip to main content

Rencana

Terima kasih penyokong hoki Malaysia

21617hokimalaysia.jpg
Walaupun dikritik kerana permulaan buruk, namun skuad hoki negara tidak ambil kisah.

Mereka anggap ia sebagai cabaran dan hasilnya, Malaysia membelasah China, 5-1 untuk layak menyertai kelompok lapan pasukan terbaik Separuh Akhir Liga Dunia.

Ia bermakna, Malaysia hampir pasti layak ke Piala Dunia 2018 walaupun kejohanan di London, England dan kempen kelayakan yang lain masih belum berakhir.

"Tanpa anda, siapalah kami. Kami harap anda semua terus menyokong kami hingga ke Piala Dunia," kata pertahanan negara, Muhammad Razie Abd Rahim.

"Kami bermain untuk negara dan peminat hoki Malaysia. Walaupun mereka mengkritik tetapi ia kritikan yang membina. Kami sahut cabaran itu dan hadiahkan tiket ke Piala Dunia," kata kapten, Sukri Mutalib.

Mengapa pemain negara tidak melenting bila dikritik?

"Kami menghargai peminat sukan Malaysia. Jadi, kami perlu cuba sedaya upaya untuk menggembirakan mereka. Jika mereka gembira, kami sudah cukup berpuas hati kerana itu tugas kami.

"Jadi, amat penting untuk kami layak ke Piala Dunia 2018 kerana itu yang mereka mahu," kata penjaga gol, S Kumar.

Saya kagum melihat sikap mereka.

Walaupun sesetengah daripada mereka sudah hampir 20 tahun mewakili Malaysia, namun mereka tetap merendah diri dan beri komitmen tinggi di atas padang.

Ia antara sebab saya jatuh cinta terhadap skuad hoki negara kerana saya yakin, sukan ini mampu melangkah jauh hingga Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

Saya pernah bertanya kepada legenda, Mirnawan Nawawi: "Adakah anda tidak menyesal memilih hoki sedangkan ketika di sekolah, anda hebat dalam pelbagai jenis sukan?

Jawabnya: "Saya boleh mendapat gaji lebih lumayan tetapi saya tanya diri sendiri, apa yang saya mahu capai dalam sukan? Saya mahu ke peringkat tertinggi (Olimpik dan Piala Dunia).

"Jadi, saya lihat hoki mampu bawa saya capai impian itu. Saya gembira memilih hoki dan berharap, pemain negara menggunakan peluang ini untuk cipta gemilang dalam karier mereka," katanya.

Malaysia akan menentang juara Asia, India pada suku akhir.

Kemenangan akan beri dua tiket iaitu Piala Dunia 2018 dan Final Liga Dunia, hujung tahun ini. Kedua-duanya jadi idaman The Malaysian Hockey Tigers. 

Apa yang mereka harapkan sokongan rakyat Malaysia, walaupun terpisah beribu batu tetapi mereka tahu, jutaan peminat sedang menyokong perjuangan mereka di atas padang.

Selamat berjaya skuad hoki negara, ayuh ke Piala Dunia 2018!

Advertisement

Must Watch Video