Inilah yang menariknya tentang tenis, terutama sekali pentas berprestij seperti Grand Slam yang hanya ada 4 edisi dalam semusim.
Terima kasih kepada kontroversi yang berlaku ketika Naomi Osaka mengejutkan Serena Williams di final Terbuka Amerika Syarikat baru-baru ini untuk muncul pemain Jepun pertama meraih Grand Slam berjaya membuka mata ramai pihak tentang keunikan sukan ini.
Advertisement
Kejayaan seseorang pemain tenis itu boleh bergantung 100% kepada kemampuan pemain itu mengawal gelanggang, mengatur strategi dan menyeimbangkan emosi sehingga tamat perlawanan yang memakan masa berjam-jam lamanya. Sebab itu, kita selalu disajikan "drama" dan dapat melihat "wajah sebenar" para pemain. Bukan sahaja yang menonton rasa terhibur, pemain yang menang pun rasa puas. Tidak hairanlah hadiah yang ditawarkan selalunya lumayan.
Jadi, apakah peranan jurulatih tenis ini terhad ketika latihan sahaja? Peraturan WTA tidaklah begitu kejam. Jurulatih tetap boleh memberikan pandangan kedua kepada pemain ketika pertandingan tetapi sekali sahaja setiap set.
Cuma di Grand Slam sahaja ia tidak dibenarkan - tetapi mengikut logik, pemain yang layak beraksi di Grand Slam tidak memerlukan bantuan kerana sudah berada di tahap yang berbeza. Jadi dalam kes jurulatih Serena, Patrick Mouratoglou, memang jelas melanggar peraturan kerana memberikan isyarat yang membawa maksud - "langkah ke hadapan, lakukan respon awal" - Serena nampak atau tidak itu perkara kedua tetapi kesannya tetap perlu ditanggung oleh pemain.
Dalam uniknya tenis, kadang kala pelik juga apabila penonton menanti pemain membaling atau mematahkan raket walaupun ia sebenarnya dilarang sama sekali. Atas sebab inilah Serena diberikan amaran kedua oleh umpire, Carlos Ramos sebelum siri perselisihan ini berakhir dengan Serena hilang satu mata. Antara pemain yang "popular" mengekspresikan diri sebegini adalah Novak Djokovic tetapi ia tidak bermakna peminat sukan ini sukakan keganasan ya.