Skip to main content

Advertisement

Rencana

Tawaran riyal Arab Saudi tidak gelapkan mata semua pemain

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

saudi-cover-photo.jpg
Tempoh jendela perpindahan musim panas saban tahun mendatangkan rasa teruja peminat bola sepak ternanti-nantikan siapakah pemain baru yang bakal hadir memperkuatkan pasukan kesayangan mereka, juga siapa yang bakal dijual demi memastikan pasukan terus kekal ampuh dan konsisten.

Buat julung kalinya pada musim ini, fokus yang diberikan tidak lagi tertumpu kepada kelab-kelab gergasi Eropah kerana hadirnya satu kuasa besar yang memberikan pilihan baru buat pemain-pemain untuk meneruskan kerjaya mereka – tidak lain tidak bukan, Liga Profesional Arab Saudi.

Segalanya bermula apabila Dana Pelaburan Awam (PIF) daripada Arab Saudi, salah satu dana diraja terbesar di dunia dengan jumlah aset yang dianggarkan sebanyak $650 bilion (RM3 trilion), juga pemilik saham majoriti kelab Newcastle United, membuat keputusan untuk melakukan lebih banyak pelaburan dalam sukan ini.

Dalam kalangan kelab yang bersaing dalam Liga Profesional Saudi, Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Hilal dan Al-Nassr merupakan pasukan-pasukan yang dimiliki oleh dana tersebut.
Misi mereka cukup jelas -- demi memartabatkan kelab-kelab bolasepak dan liga negara mereka, satu demi satu pemain berkelas dunia bakal dibawa masuk dan wang yang perlu dibelanjakan bukanlah satu masalah.



Sewaktu Cristiano Ronaldo ditamatkan kontraknya bersama Manchester United dan tidak ada kelab lain di Eropah mahupun rantau lain sanggup untuk mengambilnya, kelab Al-Nassr menyusup masuk dengan tawaran jumlah gaji setinggi €200 juta (RM1 bilion) sepanjang tempoh dua tahun sahaja.

Godaan menerima bayaran setinggi RM1 bilion pada usia yang kian lanjut, di samping beraksi dalam liga yang umum mengetahui tidak sama sengit dan kompetitif seperti liga-liga profesional Eropah, ternyata bukan sesuatu yang boleh ditolak dengan mudah.

Dalam tempoh dua bulan yang lepas, satu demi satu nama-nama besar yang dahulunya menganggotai kesebelasan utama pasukan-pasukan elit menurunkan tandatangan untuk kelab-kelab yang PIF miliki.



Karim Benzema, N’Golo Kante, Kalidou Koulibaly, Marcelo Brozovic, Roberto Firmino, Sergej Milinkovic-Savic, dan yang paling baru disahkan semalam, kapten pasukan Liverpool, Jordan Henderson, kesemuanya bakal beraksi pada musim akan datang, dan ramai lagi dijanjikan tiba.

Berdasarkan nama-nama yang disenaraikan ini, adakah anda dapat mengenal pasti apakah persamaan di antara kesemuanya?

Jawapannya adalah usia – hampir kesemua pemain-pemain ini berumur sekurang-kurangnya 30 tahun ke atas, cuma Milinkovic-Savic yang masih berusia 28 tahun menjadi pengecualian.

Berdasarkan faktor ini, cuba kita renungkan betapa besarnya pengaruh wang terhadap bukan setakat pemain profesional tetapi kepada manusia secara keseluruhan.

Gaji pemain bola sepak adalah antara yang paling tinggi dalam kesemua kerjaya, bahkan kelab yang tidak segah nama-nama seperti Real Madrid atau Manchester City sekalipun menawarkan bayaran yang menyamai gaji pekerja korporat berpangkat besar.

Setinggi mana pun gaji yang ditawarkan pada asalnya, jika ada yang boleh menawarkan harga lebih tinggi lagi, godaan untuk menolaknya tetap teramat sukar, ini adalah lumrah insan.

Memetik Koulibaly sebagai contoh, dia merupakan salah seorang yang berterus-terang akan hasratnya dan tidak memberikan jawapan berbelit ataupun berkias apabila ditanyakan tentang perpindahannya ke Arab Saudi.

“Saya tidak boleh nafikan yang saya ke Arab Saudi demi wang. Ia akan membolehkan seluruh ahli keluarga saya hidup senang, daripada ibu bapa saya sehinggalah kepada sepupu-sepupu saya sekalipun,” ujarnya dalam temu bual dengan akhbar Itali, Corriere dello Sport.

Presiden kelab Lazio, Claudio Lotito, tidak segan-silu memberikan pendapatnya sewaktu mengulas penjualan Milinkovic-Savic.

“Jika seorang pemain mahu ke Arab Saudi, satu-satunya pendorong adalah wang, tiada apa-apa selainnya. Saya mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan Milinkovic-Savic tetapi dia merayu agar saya melepaskan dia, semuanya kerana wang,” 

Tidak seperti pekerja korporat mahupun pekerja-pekerja dalam mana-mana industri yang lain, seorang pemain bola sepak tidak mungkin dapat menabur kudrat sepanjang 60 tahun lamanya – angka yang kebiasaannya dijadikan usia persaraan.

Tubuh mereka tidak lagi serupa setelah menjangkau usia 30, kecederaan yang boleh mengakhiri kerjaya berkemungkinan terjadi pada bila-bila masa, baik dalam perlawanan mahupun sewaktu latihan.

Gaji tinggi yang mereka peroleh pada satu tahun tertentu tidak semestinya bakal terus kekal jumlahnya pada tahun berikut memandangkan persaingan sentiasa tinggi dan tempat mereka boleh digantikan dalam sekelip mata.

Menuju ke Arab Saudi merupakan satu keputusan yang selamat buat masa depan kewangan mereka, juga meminimumkan risiko kerjaya mereka berakhir awal atau menjadi terumbang-ambing.

Ada yang menggelarkan mereka tamak, ada juga yang mengatakan mereka kurang bijak kerana mengorbankan peluang untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL), tetapi mereka sama sekali tidak boleh dikatakan membuat keputusan yang tidak mendatangkan kebaikan buat diri sendiri.

Akhir kata, setiap perkara pastinya ada pengecualian tersendiri dan mujurlah bukan semua pemain dikaburi mata mereka.

Son Heung-Min, pemain paling popular di Korea Selatan, tegas menolak tawaran daripada kelab Arab Saudi yang tidak dinamakan kerana masih percaya dapat memberikan impak besar kepada bola sepak di Eropah meskipun sudah berusia 31 tahun.

Lebih menarik lagi, hari ini akhbar Perancis, L’Equipe, melaporkan Kylian Mbappe, salah seorang pemain terbaik dunia ketika ini, enggan melayan delegasi Arab Saudi yang berkunjung ke Paris semata-mata demi membentangkan tawaran bernilai RM1.5 bilion untuk membawanya menyertai kelab Al-Hilal.

Hati Mbappe tekad untuk menyertai Real Madrid biarpun tawaran gaji kelab itu tidak setinggi apa yang boleh Al-Hilal berikan.

Wang bukan segalanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang, ini benar.

Setinggi mana pun nilai wang, ia tidak boleh digunakan buat membeli satu impian, ini juga benar.
 

Advertisement

Must Watch Video