Skip to main content

Rencana

Tamparan terbaru Goh Liu Ying

gohliuying-100517.jpg
Berita mengenai kecederaan bahu disusuli dengan pembedahan yang terpaksa dilalui ratu beregu campuran negara, Goh Liu Ying, di Jerman amat mengecewakan serta menyedihkan.

Ia tamparan terbaru buat Liu Ying, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dalam pertarungannya dengan kecederaan yang selalu membelenggunya.

Kini Liu Ying perlu berehat dan menjalani rawatan pemulihan dalan tempoh antara enam hingga sembilan bulan, yang menyaksikan dia hanya akan kembali beraksi semula paling awal pada Februari tahun hadapan.

Persoalannya kini mampukah Liu Ying pada usia menghampiri 28 tahun kembali beraksi secara kompetitif di pentas antarabangsa?

Persoalan itu sudahpun dijawab oleh Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost bagi pihak Liu Ying apabila berkata Liu Ying menunjukkan azam yang tinggi untuk terus beraksi di sebalik kecederaan serius dan bersedia mengharungi keperitan tempoh pemulihan yang panjang.

Sesiapa yang mengenali Liu Ying pasti percaya bahawa gadis manis  ini akan dapat mengharungi masalah terbarunya ini. Liu Ying sudahpun membuktikannya sebelum ini. Pada 2013 dia mengalami kecederaan kedua-dua belah lutut yang serius dan mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan ke atas kedua-duanya.

Liu Ying terpaksa berehat selama setahun dan hanya kembali menjalani latihan dan pertandingan pada 2015 sebelum mencatatkan kemuncak kejayaan dalam kariernya dengan memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2016 berpasangan dengan Chan Peng Soon. Ketika itu usianya masih muda berbanding ketika ini.

Liu Ying bersama Peng Soon adalah pengasas kepada perkembangan acara beregu campuran badminton negara. Mereka menjadi pemangkin kepada populariti acara beregu campuran yang menyaksikan Malaysia kini mempunyai beberapa kombinasi terbaik bertaraf dunia.

Tetapi apa yang penting Liu Ying sudah cukup berpengalaman untuk mengharungi semua ini dan pasti peminat akan berdoa bahawa ratu beregu campuran ini akan pulih sepenuhnya dan kembali mewarnai badminton negara kerana Malaysia masih memerlukan khidmat Liu Ying dalam mengharungi tiga kejohanan penting tahun hadapan iaitu Piala Uber, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Advertisement

Must Watch Video