Skip to main content

Rencana

Takraw pun boleh jadi trendy lah!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sepaktakraw.jpg

Sudah tiba masanya untuk kita angkat sesuatu yang sememangnya milik kita, lebih dari hanya sebagai sukan.

Kita sudah biasa dengan sajian hasil seni dan juga trend yang berkisar dari sukan yang popular, dan dari barat. Rasanya sudah berbondong-bondong filem tentang besbol, American Football, dan pelbagai trend, juga karya berkenaan sukan bola keranjang. Aneh bukan? Sukan yang tidak popular di negara kita mampu mengaut keuntungan dan menarik perhatian pasaran tempatan menerusi filem dan trend mengenainya.

Lihat sahaja filem Mighty Ducks - filem mengenai sekumpulan anak muda dan jurulatih pasukan hoki ais, mampu mencetus fenomena dari segi penerimaan filem tersebut, malah trend jersi hoki ais dan pelbagai lagi fesyen yang diperagakan di merata tempat di negara ini. Bayangkan, hoki ais sebagai sukan boleh dikatakan baru sahaja bertapak di Malaysia, tetapi sudah hampir 20 tahun, gaya memakai jersi mahupun topi Mighty Ducks masih lagi kekal malar segar sehingga sekarang.

Dalam program PM Bersama AM pada setiap hari Rabu, Azlan Mubin membawakan sukan sepak takraw dari pelbagai sisi. Sukan tradisi ini memang kaya dengan sejarah dan fakta yang menarik. Sekiranya ditelusuri segala aspek melalui topik yang dibawa, ditambah pula dengan kehangatan Sepak Takraw League (STL) yang sudah mula menggamit perhatian peminat sukan tempatan, bukanlah idea yang dangkal untuk sukan ini melangkaui genre sukan semata.

Advertisement

Pada tahun 2004, sebuah filem bertajuk Born to Fight dihasilkan, dan menampilkan tekong legenda dari Thailand, Suebsak Phunsueb sebagai salah seorang pemeran utamanya. Filem dari Negara Gajah Putih itu berkisarkan tentang sekumpulan atlet  yang membantu pihak Polis dengan menggunakan kemahiran sukan dimiliki mereka, untuk menyelamatkan sebuah kampung dari penjenayah-penjenayah yang kejam. Filem yang turut dibintangi oleh pemenang pingat emas Sukan Olimpik bagi acara tinju, Somluck Kamsing, Amornthep Waewsang (Gimnastik) dan bekas pemain import Pahang, Piyapong Pue-On ini, seterusnya mengangkat Suebsak sebagai seorang bintang, bukan sahaja sebagai atlet, malah idola dalam budaya popular di Thailand.




Bukan tidak ada usaha sebelum ini untuk mengangkat sukan sepak takraw sebagai satu elemen popular di Malaysia. Pada tahun 2011, filem Libas arahan Jurey Latiff Rosli menemui penonton di pawagam seluruh negara. Filem yang dibintangi pelakon handalan seperti Datuk Rosyam Nor, Scha Al-Yahya dan juga pelawak terkenal, Johan dihasilkan untuk membawa sukan khazanah warisan ini ke satu tahap yang lebih tinggi, sambil menyajikan satu kelainan buat peminat filem tanah air.

Filem ini cuba membawa kelainan dengan menggunakan hampir 60 peratus teknik imej janaan komputer (CGI) tanpa bantuan skrin hijau, dan juga elemen plot komedi ringan bertunjangkan patriotisme. Jika dilihat secara kasar, prospek filem ini amat tinggi - filem komedi, ada Datuk Rosyam Nor (komoditi yang amat hangat ketika itu), dan juga membawa perseteruan tradisi Malaysia dan Thailand ke layar perak - seolah satu resipi untuk kejayaan.


 

Namun, barangkali kelainan yang cuba dibawa agak sukar dihadam oleh penonton ketika itu, dan juga ulasan-ulasan yang mengatakan terdapat kelemahan dari segi penceritaan, tidak dapat membawa filem ini memenuhi potensi yang boleh dikecapi. Tetapi untuk pasaran niche peminat sukan sepak takraw, filem ini mungkin sesuatu yang yang diidamkan buat sekian lama.

 

Ini tidak bermakna sukan ini belum mampu mampu menjana minat masyarakat secara umum. Dengan skil yang ditampilkan dalam setiap gerakan, dan juga potensi bintang pada atlet-atlet sepak takraw moden tempatan, sukan ini bukan sahaja mampu menjadi satu tema yang menjadi ikutan masa kini, malah boleh melahirkan barisan idola dengan tarikan tersendiri.

Dari aspek trend, kita sudah biasa lihat trend memakai kasut sukan bola keranjang, ataupun jersi New York Yankees di kalangan peminat fesyen jalanan (streetwear). Nike, Adidas, Asics mendominasi pasaran ini. Jadi, tidak salah jika satu trend dimulakan, dengan memakai kasut Pallas Rejam & jersi KL Thunders menjadi satu titik tolak trend sepak takraw dalam pemakaian kasual?



Azlan Mubin sendiri, pernah muncul dalam satu telefilem bertajuk Takraw Kampung, bersama bintang ternama Syafiq Kyle, Kumpulan Titan dan Nasir Bilal Khan. Berkisar tentang pertandingan Sepak Takraw antara kampung itu, Azlan memainkan peranan antagonis, sebagai salah seorang pemain dari pasukan lawan, dengan kisah rahsia tersendiri. Sambutan menggalakkan yang diterima telefilem ini dia media sosial, menunjukkan yang sepak takraw mampu mendapat tempat di hati masyarakat, bukan sahaja sebagai sukan, bahkan sebagai genre dan tema seni.

Sukan sepak takraw harus diberi peluang dan kesempatan oleh bukan sahaja peminat sukan tempatan, juga masyarakat di negara ini secara umumnya. Sukan yang penuh gaya seperti ini harus diberi penghormatan dan cahaya sorot sendiri yang sewajarnya. Tidak salah jika satu tradisi dan warisan, diangkat menjadi satu tema yang tidak hanya mengikuti, malah mendahului peredaran masa.

Siapa kata sepak takraw tak stylo dan tak ada superstar?

Must Watch Video