RENCANA
Tahniah Kelantan juara Piala Presiden 2016
Tahniah sekali lagi buat jurulatih, Hashim Mustapha, kerana mengekalkan kejuaraan Piala Presiden 2016.
Apa yang menarik, pada tahun lepas pasukan Kelantan dibimbing oleh Nafuzi Zain dan beliau juga yang membawa pasukan T-Team ini ke final dan bertemu Kelantan juga.
Untuk pasukan Kelantan, ia bersalut reputasi sebagai pasukan yang memiliki barisan pemain yang rata-rata masih muda dan bakal menggalas tugas pemain utama satu hari nanti.
Iklan
Dan kembalinya semula ketua pasukan mereka yang juga ketua pasukan bawah 22 tahun kebangsaan, Faris Shah Rosli, membuatkan barisan pertahanan Kelantan dilihat cukup padu.
Ketika perlawanan final yang pertama di Kota Bharu dengan keputusan seri 1-1, pasukan T-Team dilihat akan memiliki kelebihan untuk menang dalam final yang kedua ini, apatah lagi ia berlangsung di Kuala Terengganu
Tetapi sebaliknya pula yang berlaku apabila Kelantan berjaya menang dengan jaringan 2-0, sekaligus muncul juara dengan agregat 3 -1.
Permainan kedua-dua pasukan seimbang. Formasi kedua-dua pasukan yang menggunakan 4-5-1 juga dilihat lebih menarik dengan persaingan di kawasan tengah.
Tetapi kesilapan penjaga gol T-Team, Mohd Asyraf Azmi ,yang cuba membuat hantaran balik kepada rakan pasukan di dalam kawasan pertahanan tidak menjadi dan peluang tersebut diambil oleh dua penyerang berbisa Kelantan, Danial Ashraf Abdullah dan Mohd Rraihan Huzaizi yang berjaya menjaringkan gol tersebut pada minit ke-40.
Kedudukan separuh masa 1-0 untuk Kelantan walaupun keadaan perjalanan perlawanan diganggu dengan sikap dan cara pemain-pemain membuat terjahan yang agak kasar sering berlaku.
Pasukan T-Team juga dilihat memiliki peluang untuk menjaringkan gol tetapi jentera serangan mereka yang diketuai oleh pemain kebangsaan, Safawi Rasid, tidak menjadi.
Separuh masa kedua menampakkan penguasaan tengah yang banyak pada T-Team dan sekali-sekala pasukan Kelantan membuat gerakan pantas untuk menyerang.
Dan akhirnya dalam kesibukan pasukan T-Team melancarkan gerakan serangan yang kerap sehingga meninggalkan hanya dua pemain di bahagian pertahanan, dihukum oleh gerakan serangan balas pasukan Kelantan yang dimulakan dari kawasan bawah sehingga Danial Ashraf berjaya menjaringkan gol yang cantik hasil gerakan satu lawan satu untuknya menjaringkan gol kedua pada minit ke-81.
Ia sekaligus meletakkan namanya sebagai penjaring terbanyak pertandingan Piala Presiden 2016.
Dengan adanya barisan pemain muda Kelantan ini, saya dapat rasakan bahawa mereka berjaya melahirkan ramai pemain pelapis yang boleh diketengahkan untuk bermain di dalam pasukan utama The Red Warriors nanti.
Untuk ketua jurulatih mereka, tangisan kejuaraan pada penghujuing perlawanan itu menggambarkan bahawasanya beliau cukup puas menang dan mengekalkan gelaran juara 2016.
Must-Watch Video