Skip to main content

Rencana

Tabik kapten!

040217-kapten-kebangsaan-muhammad-razie-abd-rahim2.jpg
Saya terharu melihat empat pemain hoki negara menamatkan Kursus Latihan Asas Inspektor Polis di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur.

Bekas kapten kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim, Nabil Fiqri Mohd Noor, Noor Hasliza Md Ali dan Farah Ayuni Yahya, terus menabur bakti untuk negara, kali ini sebagai inspektor polis. 

Antara pemain ini, saya terharu melihat perkembangan Razie.

040217 kapten kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim

Saya mula mengenalinya pada 2006 ketika dia berusia 19 tahun, ketika kami sama-sama mentah dalam bidang masing-masing.

Ketika itu dia beraksi sebagai penyerang skuad kebangsaan sebelum ditukarkan ke kubu pertahanan.

Seorang pendiam namun memiliki skil menggelecek tinggi, tenang mengawal bola dan paling penting, tolakan padu pukulan sudut penalti.

Tahun demi tahun, seorang demi seorang pemain senior meninggalkan The Malaysian Hockey Tigers sebelum Razie diamanahkan memakai lilitan kapten pada 2013.

Walaupun lilitan itu kadang-kala bersilih ganti dengan pemain lain, namun ia permulaan tahun gemilang hoki Malaysia.

The Malaysian Hockey Tigers layak ke Piala Dunia 2014, kali pertama selepas 12 tahun.

Ketika gelora membadai kem negara pada 2014, cukuplah saya katakan Razie antara pemain terbabit. Namun, sebagai kapten dia masih mampu mengawal pasukan walaupun Malaysia menamatkan cabaran di tangga tercorot Piala Dunia.

Musim 2015, beberapa pemain mengumumkan persaraan apabila Malaysia gagal ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Pertahanan, Azlan Misron dan Roslan Jamaluddin (penjaga gol) mengucapkan selamat tinggal sekali gus menambah bebanan Razie dan rakan di kubu pertahanan.

Begitupun, pemain kelahiran Kuala Lumpur ini tetap komited meneruskan tugas hingga bantu Malaysia raih tangga ketiga Piala Sultan Azlan Shah 2016.

Selepas tamat kejohanan, saya sempat menemubual Razie di perkarangan Stadium Sultan Azlan Shah: "Sudah lebih 10 tahun saya mewakili negara, sudah tiba masa untuk memikirkan masa depan keluarga saya.

"Saya sudah memohon mengikuti Kursus Latihan Asas Inspektor Polis dan akan melaporkan diri selepas tamat kejohanan ini. Saya harap rakan sepasukan dapat meneruskan perjuangan sepanjang ketiadaan saya," kata Razie.

Menariknya, Razie dan Nabil diberi pelepasan bantu Malaysia pada Cabaran Juara-Juara Asia 2016 di Kuantan, Pahang dan akhirnya, negara raih tangga ketiga.

Begitu penting pemain ini terhadap skuad kebangsaan.

Ketika menyaksikan upacara perbarisan tamat latihan di Pulapol, saya sempat menjeling ke arah isteri Razie dan anak perempuannya.

Ada pelbagai reaksi. Kadang-kala kagum, hiba, dan akhirnya air mata kegembiraan. 

Mereka sudah menunggu lama, bukan hanya melepaskan Razie selama sembilan bulan di Pulapol tetapi terhadap skuad negara.

Tiba masa untuk membina masa depan lebih gemilang bersama dua tanggungjawab, pertahanan hoki negara dan Inspektor Polis.

Tabik kapten!

Advertisement

Must Watch Video