Kalau dekat Malaysia, isu gaji sungguh sensitif terutama buat pemain bola sepak.
Tetapi di London, ceritanya cukup berbeza.
Advertisement
Mesut Ozil merupakan pemain yang memecah sejarah kelab Arsenal untuk dibayar gaji setaraf bintang Liga Perdana Inggeris.
Dia tiba daripada Real Madrid 7 tahun lalu dan pada tahun 2018, dia ditawarkan kontrak baru dengan gaji termahal dalam sejarah kelab, £350 ribu seminggu bersamaan £18.2 juta semusim.
Sejak itu, persembahannya mula dikritik peminat The Gunners seluruh dunia.
Musim ini dia hanya melakukan 23 penampilan untuk kesemua pertandingan, dengan hanya beraksi selama 1811 minit.
Ozil hanya mencetak 1 gol dan 3 bantuan gol sekaligus menyaksikan Arsenal sebenarnya membayar £15.7 juta untuk gol tunggalnya musim ini.
Malah dengan statistik 20 bentesan yang dilakukan Ozil musim ini, nilainya dianggarkan sebanyak £787k untuk setiap bentesan.
Malah apabila liga bersambung selepas direhatkan akibat pandemik COVID-19, dia dianggarkan menerima bayaran lebih £1 juta untuk duduk di bangku simpanan kerana belum beraksi walau seminit pun.
Dia tiada dalam senarai 20 pemain ketika tewas kepada Man City atas alasan taktikal; kemudiannya hanya memanaskan bangku simpanan ketika menentang Brighton dan Southampton walaupun satu pasukan dibenarkan menukar 5 pemain.
Pada pelawanan suku akhir Piala FA menentang Sheffield United dan kemudiannya dengan Norwich, Ozil tiada dalam pasukan dengan alasan kecederaan belakang.
Apa yang berlaku sebenarnya kepada Ozil?
Arteta pernah memberi kenyataan ketika tewas kepada Man City, yang Ozil mengalami minggu sukar sejak beberapa minggu lepas, malah memberi bayangan akan menurunkan perancang Jerman itu hanya jika dia memberikan persembahan yang setaraf kualiti yang dimilikinya.
Perlu diingat, Ozil juga antara pemain yang menolak potongan gaji sebanyak 12.5% ketika liga berehat.
Dengan kontrak berbaki setahun, tidak banyak yang mampu dilakukan oleh Arteta mahupun Arsenal.
Dia sudah berada di kelab selama 7 tahun, lebih lama dari Robert Pires dan hanya kurang setahun dari Thierry Henry.
Adakah dia masih sesuai dengan corak permainan Arsenal?
Jika tidak, mampukah mereka menjual Ozil kepada pasukan lain yang sanggup membayar gaji sebanyak itu?
Ataupun mereka rela melepaskannya secara percuma pada musim hadapan?
Mungkin ini dilema yang terpaksa ditempuh Arteta pada musim pertama sebagai pengendali The Gunners.
Bertabahlah.