Skip to main content

Rencana

Syakilla "Karate Kid" Malaysia

071016syakilla.png
Dulu dia pemalu, apabila saya mendekati dia hanya tersenyum dan cuba untuk menyorok di belakang Vasantha Marial, G Vathana, G Yamini dan Jamaliah Jamaluddin - atlit senior yang sudah bersara.
 
Itu cerita lima tahun lalu.
 
Hari ini, Syakilla Salni Jefry Krisnan, ratu karate-do negara.
 
Dia lebih yakin, lebih bersemangat dan memiliki aura juara.
 
"Saya gembira kerana perancangan kami menjadi. Saya tidak terkejut untuk menghuni ranking pertama dunia, cuma saya berharap kedudukan itu akan mengukuhkan lagi reputasi Malaysia menjelang Kejohanan Dunia (Lenz, Austria)," kata Syakilla.
 
Syakilla memberi bayangan karate-do wajar diletakkan sebagai harapan emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, apabila menghuni ranking pertama kumite 55kg, Liga Perdana K1 Dunia.
 
Ranking K1 berbeza dengan ranking dunia kerana ia berdasarkan pencapaian atlet dalam Liga Perdana K1 - lebih kepada strategi mengutip mata.
 
Ranking dunia, Syakilla menghuni tangga keenam.
 
Realitinya, Malaysia tetap meraikan kejayaan Syakilla kerana cipta sejarah atlet pertama negara meraih pencapaian itu.
 
Malah, atlet kelahiran Perak itu berpeluang mencipta kejayaan lebih besar di Kejohanan Dunia.
 
"Saya mahu jadi atlet pertama negara menjuarai Kejohanan Dunia. Saya tahu ia misi sukar, namun kali ini saya lebih yakin.
 
"Kejohanan Dunia lalu (2014) saya bergelar naib juara. Mungkin kali ini rezeki saya lebih baik," katanya.
 
Dia beraksi dalam kategori 61kg pada 2014 sebelum ambil keputusan bertukar ke 55kg pada tahun lalu dan nampaknya, strategi itu berhasil!
 
Saya harap Syakilla mencapai impian bergelar juara dunia kerana dia kini bukan saja akan melangkah ke Lenz sebagai pilihan utama, malah atlet harapan menyumbang emas Olimpik Tokyo 2020.

Advertisement

Must Watch Video