Skip to main content

Rencana

Syabas Dhaarma syabas!

150117tigress.jpg

Ada sesuatu yang menarik mengenai prestasi skuad hoki wanita negara dibawah kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Ketika menumbangkan Hong Kong, 9-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B Pusingan Kedua Liga Dunia, saya dapat lihat beberapa aspek sudah jauh meningkat.

Apa yang paling jelas kemampuan Nuraini Abd Rashid melaksanakan tolakan terus pukulan sudut penalti yang menjadi lubuk jaringan Malaysia di Stadium Hoki Tun Razak.

Jika tidak melakukan tolakan terus, beberapa set piece, lantunan semula dan 'hitter' menerusi Siti Nur Amarina Ruhani juga nampak mantap.

Ketika serangan berlaku, sayap kanan dan kiri juga berfungsi dengan baik selain kawalan bola kemas - bukti Dhaarma berjaya meningkatkan teknik asas pemain wanita negara.

Saya sudah membuat liputan tiga aksi Pusingan Kedua Liga Dunia untuk skuad senior lelaki dan mereka berjaya layak ke Separuh Akhir, pentas yang masih belum dijejaki pasukan wanita negara.

Namun, selepas menyaksikan apa yang berlaku di Stadium Hoki Tun Razak, saya yakin Dhaarma mampu membawa skuad Malaysian Tigress ke pentas itu.

Perlu diingatkan, dua pasukan terbaik akan layak secara automatik ke Separuh Akhir Liga Dunia yang juga kelayakan Piala Dunia 2018.

Malaysia diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan selepas Itali dan Ireland, namun selepas apa yang berlaku, saya yakin Malaysia mampu ke final.

Mereka sudah berusaha gigih sejak 2 tahun lalu, berlatih seawal jam 5 pagi, menangguhkan perkahwinan, ada yang melupakan dulu hasrat memiliki anak dan memohon pekerjaan demi bantu Malaysia ke Piala Dunia.

"Dulu ketika saya mengendalikan Skuad Projek 2013 dan pasukan senior kebangsaan, masalah paling besar ialah untuk membetulkan disiplin pemain. Namun untuk pasukan wanita, saya terpaksa menghadapi masalah yang saya sendiri tidak tahu jalan penyelesaiannya.

"Hari demi hari, perjalanan kami makin mudah. Malah, saya lihat disiplin pemain wanita lebih baik berbanding sesetengah pemain lelaki. Mungkin kerana mereka benar-benar mahu ke Piala Dunia atau Sukan Olimpik," kata Dhaarma.

Saya tahu, Dhaarma pasti dapat menyelesaikan apa jua masalah di depan matanya kerana beliau antara pengendali terbaik di Malaysia.

Pengorbanan ini pasti dibalas dengan kejayaan yang manis.

Ayuh Malaysian Tigress, layak ke Piala Dunia!

Advertisement

Must Watch Video