Skip to main content

Rencana

Supermokh masih dirindui

mokhtar-dahari.jpg
Jika Datuk Mokhtar Dahari masih bersama kita, usianya genap 64 tahun pada 13 November 2018. Sedar tidak sedar, insan yang menjadi ikon bola sepak negara ini sudah 26 tahun pergi menghadap Ilahi -- meninggalkan keluarga tersayang, para sahabat dan peminat bola sepak Malaysia.

Anakanda sulung pasangan Dahari Abeng dan Aminah Sharikan ini dijulang sebagai legenda agung bola sepak negara di atas pelbagai sumbangan sehingga dia digeruni kawan mahupun lawan, domestik mahupun antarabangsa. Namun, tidak ramai yang tahu kepedihan yang pernah dirasai dan dialami semasa hayatnya.

Kesetiaan Mokhtar menyarung jersi Harimau Malaya demi negara tercinta diuji menerusi satu kontroversi yang berlaku selepas Malaysia mengalami kekalahan besar 0-7 kepada China dalam Sukan Asia Bangkok 1978 diikuti dengan dua lagi kekalahan dalam aksi antarabangsa menentang New York Cosmos dan City Bank Korea Selatan.

Bukan sahaja dia menerima kecaman hebat, ahli keluarganya turut menjadi mangsa. Kritikan pedas media hanya memburukkan lagi keadaan yang sedia keruh. Namun, tuduhan dia adalah 'field passenger' atau penumpang dalam pasukan benar-benar menyinggung perasaannya sehingga dia nekad mengumumkan persaraan pada November 1979.

Keputusan itu hanya bertahan selama 11 bulan sahaja apabila cintanya kepada negara melebihi segalanya. Mokhtar kembali bersama skuad kebangsaan dalam kempen Pestabola Merdeka 1980. Namun, dia tidak menyangka, itulah kali terakhir dia akan mewakili negara di kejohanan itu apabila dia mengalami kecederaan dalam persiapan ke Pestabola Merdeka 1982 - termasuk terlepas Piala Presiden Park di Korea Selatan.

Kecederaan itu sebenarnya tidak begitu serius dan Mokhtar menjangkakan dia akan kembali dipanggil untuk mewakili negara dalam kalendar bola sepak yang sibuk tahun itu.

Begitupun, dia terus dipinggirkan dari perancangan skuad kebangsaan dalam saingan Piala Merlion di Singapura. Mokhtar menggunakan jemputan untuk menulis di sebuah majalah bola sepak tempatan bagi meluahkan apa yang terpendam. Namun, tanpa sedar ia telah mencetuskan satu lagi kontroversi.

Kesan hubungan yang tidak begitu baik dengan FAM dan hatinya yang masih tersinggung dengan apa yang berlaku -- Mokhtar akhirnya mengumumkan persaraan buat kali kedua pada Oktober 1982, genap sedekad mewakili Malaysia.

Maka, kembalilah fokus Mokhtar 100 peratus kepada cinta pertamanya, pasukan Merah Kuning yang menyimpan ikrarnya 'hidup dan mati saya demi Selangor'.

Ketika menyambut usia 35 tahun, Mokhtar diselubungi satu lagi kesedihan apabila dia disahkan menghidap 'Motor Neurone Disease' yang kerap berlaku kepada ahli sukan. Sakit tekak adalah simpton awal yang membawa dia dan isteri ke London untuk mendapatkan rawatan terbaik. Namun, selepas tiga tahun bertarung dengan penyakit ini, Mokhtar yang terkenal dengan semangat juang tinggi akhirnya, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Julai 1991 di sebuah pusat rawatan di Subang Jaya.

Begitulah kisah hidup legenda Selangor yang membawa pulang 10 daripada 33 Piala Malaysia, legenda Harimau Malaya yang memastikan empat kejuaraan Pestabola Merdeka milik Malaysia, legenda kesayangan yang pernah digeruni bintang bola sepak terkenal, Diego Maradona, yang pernah menjaringkan gol ketika Malaysia menundukkan Arsenal 2-0.

Hanya pernah mendapat satu kad merah sahaja sepanjang kerjayanya -- Mokhtar masih contoh terbaik buat generasi bola sepak masa kini. 

Al-Fatihah. 

 

Advertisement

Must Watch Video