Skip to main content

Rencana

Suka hati depa la nak kata apa

100117-faiz-subri-puskas-award.jpg

Orangnya cukup sederhana, bukan jenis sukakan perhatian dan merendah diri.

Tidak hairan penerima Anugerah PUSKAS dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), untuk kategori jaringan tercantik ini tidak melatah dengan pelbagai komen skeptikal dan negatif daripada netizen.

Sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), soalan dari bilik sidang media berkisar kepada reaksi Faiz sendiri di atas kritikan yang lebih lebat daripada pujian berikutan kejayaan yang dibawa pulang buat kali pertama di bumi Asia dan khususnya Malaysia.

Faiz termanggu seketika memikirkan soalan itu akhirnya Faiz menjawab.

" Biaq p depa nak kata apa yang penting saya bawa pulang sesuatu untuk negara."

Jawapan Faiz cukup mudah dan penulis fikir ia tidak menyakitkan hati mana-mana pihak.

Biarpun ada di kalangan media yang tergelak kecil dengan jawapan itu, bagi penulis ia sudah cukup menggambarkan betapa Faiz tidak perlu ambil pusing dengan pelbagai kritikan ketika namanya sudah pun mengisi salah satu slot dari 8 kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Bola Sepak FIFA 2016. Ingat senang ke ?

Untung, nasib atau kebetulan, harus diingat dalam mana-mana pertandingan nasib turut memainkan peranan besar dalam sesebuah kejayaan walaupun ramai yang akan panas telinga apabila rumusan pendek berkisar kepada " Alah menang nasib je." 

Yang pasti Faiz Subri sudah diiktiraf di peringkat dunia, dan lebih manis Faiz Subri muncul sebagai pemain pertama dari benua Asia yang menerima anugerah FIFA sejak anugerah ini dipertandingkan.

Belum terlewat untuk penulis ucapkan tahniah. Semoga Faiz terus sukses!

Advertisement

Must Watch Video