Skip to main content

Rencana

Sudah tiba giliran Buffon bergelar juara UCL

10517buffon.jpg
Dua kuasa besar Eropah bakal bertembung dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) pada Sabtu ini tetapi kejuaraan ini dilihat sebagai peluang terbaik buat penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon, untuk menjulang trofi tersebut.

Perlawanan ini bakal melibatkan juara Serie A, Juve, yang memiliki barisan pertahanan yang ampuh manakala juara baru LaLiga, Real Madrid, mempamerkan jentera serangan yang paling berbisa di atas muka bumi ini.

Pada usia 39 tahun, Buffon masih lagi dilihat sebagai penjaga gol yang berkualiti dan legenda yang telah menjuarai segala-galanya kecuali trofi Liga Juara-Juara (UCL).

Penjaga gol kelahiran Itali itu telah beraksi dalam lima Piala Dunia, memenangi kejohanan tersebut pada 2006 dan membuat 168 penampilan bersama skuad kebangsaannya.

Buffon telah menjuarai Scudetto sebanyak 10 kali dan kekal sebagai penjaga gol termahal dalam sejarah dengan nilai perpindahannya sebanyak GBP33 juta daripada Parma ke Juventus, 16 tahun lalu.

Hanya kejayaan di pentas Eropah tidak berjaya didakap oleh Buffon apabila tewas dua kali pada 2003 dan 2015.

Selepas tewas pada kali pertama menerusi penentuan sepakan penalti, ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

“Dia adalah seorang penjaga gol terbaik yang pernah saya temui. Dia sukar untuk ditewaskan
walaupun di dalam sesi latihan,” kata Zlatan Ibrahimovic.

Juve mengharungi musim 2016-17 yang sangat baik, sekadar bolos satu gol dalam peringkat penyingkiran UCL, dengan kelab-kelab Itali telah memenangi kejohanan tersebut setiap tujuh tahun sekali sejak 1989.

Bagaimanapun,  lawan mereka, Real, turut meletakkan sasaran untuk mencipta sejarah tersendiri, dengan menjadi pasukan pertama untuk mempertahankan kejuaraan tersebut.

Penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo, kekal sebagai ancaman utama buat The Old Lady manakala Gareth Bale bakal menyertai kesebelasan jika dia pulih sepenuhnya.

Ternyata kedua-dua pasukan bakal memberikan persembahan terbaik, adakah ini peluang buat Buffon menamatkan badi dua kekalahan dalam final? 

Ataupun kejayaan di pentas Eropah sememangnya tidak akan berjaya diraih oleh penjaga gol veteran tersebut, sama-sama kita saksikan hujung minggu ini.

Advertisement

Must Watch Video