RENCANA
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur jelmaan Stadium Merdeka
Tidak dinafikan, kegagalan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mendapatkan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang di tempat sendiri musim ini mengecewakan ribuan peminat setia Merah Kuning.
Namun bagi penulis, terdapat juga perkara positif apabila Selangor berkongsi stadium dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk saingan Liga Super musim ini.
Stadium itu kembali digunakan musim ini, selepas hampir lima tahun menjalani pelbagai proses pengubahsuaian.
Iklan
Kini, kebanjiran penyokong Selangor di persekitaran stadium itu, sedikit sebanyak mengembalikan era Stadium Merdeka ketika Selangor dan Kuala Lumpur berkongsi stadium sama pada era hujung 70an hingga 1994.
Secara tidak langsung juga, budaya bola sepak seakan hidup semula di Kuala Lumpur sebaik stadium ini kembali digunakan.
Namun, berdasarkan pengalaman membuat tugasan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis dapati masih ada kelemahan yang perlu segera di atasi.
Antaranya ialah kemudahan buat petugas media melakukan tugas ketika hari perlawanan.
Pemilik stadium yakni, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu meninjau bagaimana Stadium Nasional, Stadium Shah Alam dan juga Larkin menempatkan petugas media di "Media Tribune".
Walaupun terdapat bilik media, mungkin lebih mudah buat petugas media jika terdapatnya media tribune.
DBKL juga perlu memastikan tempat letak kenderaan yang lebih teratur kerana ketika ini, terdapat beberapa food truck (lori makanan) meletak kenderaan di kawasan tempat letak kereta.
Seharusnya mereka diberikan kawasan khas berniaga berhampiran stadium tetapi, tidak mengambil tempat letak kereta awam.
Memandangkan ini adalah stadium utama buat skuad Kuala Lumpur, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mungkin boleh merancang bersama DBKL untuk melakukan sedikit hiasan.
Mungkin gambar beberapa pemain dan juga skuad warga boleh diletakkan di beberapa sudut di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Must-Watch Video