"Kami kena pastikan jaringan, jika tidak mahu saya marah," demikian luahan Kim Pan-gon sama ada berseloroh atau sebaliknya.
Namun, pesanan itu dianggap penting buat pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi, ketika bertemu PDRM di Stadium MBPJ malam tadi, dengan harapan dia mahu keluar daripada prestasi tidak menjadi akhir-akhir ini.
Dan keinginan kuat itu membawa kepada prestasi yang dicari-carinya sejak sekian lama dan kata-kata tegas ketua jurulatih Selangor itu nampaknya bersalut aura, yang mampu menyuntik semangat luar biasa buat pemain ini.
Mukhairi Ajmal cemerlang mencetak hatrik di Stadium MBPJ selepas melewati prestasi dan nasib kurang baik untuk menyerlah musim ini.
"Saya jawab Insya-Allah akan cuba yang terbaik," katanya selepas perlawanan.
Dalam pada itu, percaturan Pan-gon dengan menampilkan pemain daripada barisan kedua bawa situasi menang-menang buat skuad utama.
Bahkan, Pan-gon tidak berselindung bahawa ini sebahagian dari rencana utamanya bagi memberikan rehat yang cukup sebelum final pusingan pertama Piala Shopee Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), Rabu ini.
"Kami perlu persiap untuk perlawanan Rabu ini, bermain dalam perlawanan akhir Piala Shopee dan bermain di tempat sendiri.
"Saya letakkan tanggungjawab ke atas beberapa pemain agar dapat membina momentum perlawanan seterusnya.
"Bukan mudah meledakkan enam jaringan. Bukan sahaja jaringan dan daripada segi persembahan, kami pastikan tidak dibolosi.
"Momentum ini harap boleh dibawa pada Rabu ini," katanya.
Dalam pada itu, ketua jurulatih PDRM, Eddy Gapil, mengakui Selangor ada jurang besar ke atas anak buahnya yang mampu membawa kesulitan untuk mereka cuba menguasai padang.
"Jurang amat ketara meskipun Selangor tidak turunkan pasukan utama.
"Apa yang mereka tonjolkan satu permainan yang berkualiti dan matang," katanya pula.