Skip to main content

Sepak Takraw

Piala Dunia ISTAF 2026: Skuad regu, kuadran tidak berdepan liku mara ke separuh akhir

Piala Dunia ISTAF 2026: Skuad regu, kuadran tidak berdepan liku mara ke separuh akhir

Misi Malaysia untuk mengulangi kejayaan muncul juara dalam Piala Dunia ISTAF 2026 acara regu terus berada di landasan tepat apabila mudah melepasi halangan suku akhir selepas menewaskan Filipina secara straight set.

Malaysia mempertaruhkan regu terbaik dibarisi Farhan Adam selaku kapten dan feeder, Azlan Alias sebagai killer serta Syahir Rosdi di posisi tekong.

Skuad negara bermula garang apabila mendahului 5-2 hasil kombinasi kemas dan serangan tajam yang sukar dikekang lawan.

Namun Filipina tidak mudah menyerah apabila berjaya merapatkan jurang sehingga kedudukan menjadi 5-6, sekali gus memberi tekanan kepada pasukan negara.

Menyedari risiko kebangkitan lawan, Malaysia kembali memperkemaskan pertahanan selain meningkatkan intensiti serangan untuk kembali selesa mendahului 12-8.

Azlan kemudian memastikan kemenangan set pertama 15-9 menerusi libasan tajam yang gagal dikembalikan lawan.

Memasuki set kedua, Malaysia terus menguasai permainan dengan variasi servis Syahir dan rejaman pantas Azlan menjadi senjata utama pasukan.

Malaysia pantas meninggalkan Filipina dengan kelebihan 7-3 sebelum lawan semakin kehilangan rentak permainan.

Dominasi skuad negara jelas terserlah apabila Filipina gagal memberikan tentangan konsisten dan seakan membenarkan Malaysia mengawal sepenuhnya aksi di gelanggang.

Kemenangan straight set itu memastikan Malaysia melangkah ke separuh akhir untuk bertemu Myanmar.

Terdahulu, skuad kuadran negara turut mencatat kemenangan ke atas Filipina dengan keputusan 15-13, 15-10 untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Anak buah Ahmad Jais Baharun menerima tentangan sengit khususnya dalam set pertama apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata.

Namun rejaman Afifudin Razali yang terkena hadangan pemain lawan membantu Malaysia menutup set pertama dengan kemenangan tipis 15-13.

Dalam set kedua, Filipina sekali lagi bermula baik dengan mendahului 2-0, namun skuad negara bangkit mempamerkan permainan lebih kemas untuk menyamakan kedudukan sebelum mengambil alih momentum perlawanan.

Pasukan kendalian Joel Carbonilla cuba memberi saingan, namun Malaysia berjaya mengekalkan fokus sebelum Shahalril Aiman menutup kemenangan menerusi libasan gulung.

Kejayaan itu memastikan skuad kuadran negara bakal berdepan Vietnam di separuh akhir.

Imej: Bola Rotan TV

Related Topics

Must Watch Video