Skip to main content

Advertisement

Rencana

Sopan la sikit...

media-sosial.jpg
Zaman teknologi kini memperlihatkan media sosial menjadi keutamaan hampir setiap individu. Jika Instagram, Twitter atau Facebook tidak dapat digunakan, huru-hara hidup kepada mereka yang menjadikan laman-laman sosial ini sebagai sebahagian kehidupan seharian.

Tetapi nukilan ini bukanlah mengenai kepentingan laman sosial dalam kehidupan tetapi lebih kepada etika dalam penggunaannya.

Apa yang dapat dilihat dengan adanya media sosial ini, ramai yang ingin berkongsi pendapat, komen tentang sesuatu isu, ini boleh dianggap sesuatu yang positif terutama sekali ia menjadi platform bertukar idea.

Namun, baru-baru ini, apabila ada sahaja isu yang membabitkan bola sepak atau ikon-ikon sukan ternama, ada sahaja yang cepat melatah dan mudah terasa walaupun majoriti tidak faham akan apa yang sebenarnya diketengahkan dan inilah masa sopan-santun dalam berbahasa hilang, lupus bagaikan kita adalah bangsa yang tidak beradab.

Susah sangat ke untuk bersopan apabila ingin mengkritik sesuatu topik atau seseorang, perlukah dimaki juga keluarga tersayang individu terbabit yang tidak ada sangkut-paut dengan topik yang ingin dibincangkan. 

Malaysia dan juga negara-negara Asia Tenggara lain, terkenal dengan budi bahasa tetapi dengan teknologi masa kini yang memberi ruang dan platform untuk sesiapa sahaja meluahkan apa terkubur di hati, sekali gus hilang juga kesopanan apabila ingin menegur. 

Gunalah peluang ini untuk mendidik dan menasihati, tetapi bukan mencaci dan menghina.

Saya setuju dengan nasihat atau pendapat mereka yang "passionate" mengenai sesuatu isu dan ingin berkongsi tetapi susah sangat ke untuk berbicara dengan sopan dan beretika. 

Tiada kebaikan yang akan datang kepada mereka yang mencaci dan menghina kerana ia hanya akan menjadi refleksi kepada pesona mereka.

Jadi nasihat saya, biarlah beradab apabila ingin menegur kerana kesopanan itu sudah sebati dengan jiwa kita semua :)
 

Advertisement

Must Watch Video