Skip to main content

Rencana

“Solid lah Harimau Malaya Malam Ni” - Ekor harimau Malaya

46789473_1920613718035383_5808228469317828608_n.jpg
“Solid lah Harimau Malaya Malam ni." 

Itulah salah satu komen peminat bola sepak negara selepas berakhirnya perlawanan Piala AFF Suzuki 2018 dimana Malaysia menumbangkan Myanmar 3-0 di Stadium Bukit Jalil.

Selepas tewas kepada Vietnam dalam perlawanan di Hanoi, anak-anak buah Tan Cheng Hoe kembali bangkit mencatatkan kemenangan sekaligus menempah slot ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Jika dibandingkan dengan aksi terakhir menentang Laos di Stadium Bukit Jalil, skuad kali ini nyata mempamer corak permainan yang begitu berbeza biarpun hanya satu dua pertukaran pemain dalam kesebelasan utama.

Ketika bertemu Laos, bermain tanpa tekanan yang begitu tinggi, skuad negara dilihat bergelut untuk mendapatkan jaringan apatah lagi terlebih dahulu dibolosi pihak lawan. Hanya jaringan penyamaan dan dua gol pada minit-minit akhir permainan meyaksikan Malaysia menang dengan keputusan 3-1.

Berlainan ceritanya dalam pertemuan menentang Myanmar. Bermain penuh tekanan dalam memenuhi misi wajib menang ternyata menyerlahkan aksi skuad Malaysia. Sesiapa yang ke stadium pasti dapat melihat betapa kukuhnya benteng pertahanan, tengah dan jentera serangan Malaysia.

Farizal Marlias, Shahrul Saad, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Syahmi Safari, Syazwan Andik sambil dibantu pemain tengah bertahan, Syamer Kutty Abba dan Akram Mahinan, ternyata berjaya mematahkan setiap asakan pihak lawan setiap kali serangan balas pasukan Myanmar.

Manakala serangan dari jentera tengah banyak dicipta oleh Norshahrul Idlan Talaha sambil dibantu Sumareh dan Safawi Rasid yang sering melakukan larian deras ke dalam kubu pihak lawan.  Pihak lawan ternyata gusar dengan gerakan yang dicipta trio ini, sekaligus menyaksikan begitu banyak kekasaran dilakukan kepada mereka. 

Bayangkanlah, setiap kali Safawi Rasid memegang bola, setiap kali itulah beliau dikasari. Setiap kali bola di kaki Norshahrul Idlan Talaha, beliau akan menerima asakan rapat pihak pertahanan lawan. 
Sumareh juga begitu, beliau dikawal ketat sehingga sukar untuk melakukan pusingan badan setiap kali mendapat bola.

Namun segala asakan berjaya diatasi dengan ketenangan selain pemain Malaysia bijak melakukan hantaran ringkas satu dua sehingga menyaksikan benteng mereka dibolosi tiga kali, dua kali hasil sentuhan ketua pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak.

Dayang percaya andai aksi seperti ini dapat dikekalkan untuk peringkat separuh akhir nanti, tidak mustahil piala kejuaraan akan kembali ke bumi Malaysia kali ini.

Teruskan perjuanganmu Sang Harimau, dari kami ekor Harimau Malaya.

Advertisement

Must Watch Video